Konflik Asia Barat: Biden akan bercakap dengan Netanyahu
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, beliau akan bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak lama lagi susulan ketegangan di Asia Barat meningkat, berikutan pembunuhan ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah.
"Ya, saya akan bercakap dengannya," kata Biden pada Ahad ketika beliau menuju ke White House dari Pangkalan Tentera Udara Dover, di Delaware.
BERITA PENUH DI SINI
Kedaulatan Lubnan harus dipelihara - Arab Saudi
Kerajaan Arab Saudi menyatakan sokongan terhadap Lubnan yang kini menjadi sasaran terbaharu Israel.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Arab Saudi turut menyeru agar kedaulatan serta keutuhan wilayah negara itu dipelihara.
BERITA PENUH DI SINI
Israel peroleh maklumat awal lawatan Nasrallah ke Beirut sebelum serangan
Israel telah mendapat maklumat risikan awal mengenai lawatan Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah, ke pinggir bandar selatan Beirut sebelum beliau terbunuh dalam serangan udara, lapor Sputnik yang memetik akhbar Perancis Le Parisien pada Ahad.
Pada Sabtu, Hezbollah mengesahkan bahawa Nasrallah terbunuh dalam serangan udara Israel di Beirut pada Jumaat.
BERITA PENUH DI SINI
Mayat Hassan Nasrallah ditemukan - Sumber
Mayat pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut, telah ditemukan, dedah sumber yang rapat dengan pergerakan itu kepada AFP pada Ahad.
“Mayatnya ditemui pada Sabtu dan sudah dikafankan pada Ahad selepas dimandikan,” kata sumber itu, yang enggan dikenali.
BERITA PENUH DI SINI
Lebih 100 maut, 350 cedera dalam serangan Israel ke atas Lubnan
Sekurang-kurangnya 105 orang terbunuh dan 359 cedera dalam serangan udara Israel di seluruh Lubnan pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.
Portal berita CNN melaporkan, jumlah kematian tertinggi adalah di selatan Lubnan apabila 48 orang terbunuh dan 168 cedera di Ain Al-Delb dan Tyre.
BERITA PENUH DI SINI
Hizbullah sahkan kematian dua pemimpinnya dalam serangan udara Israel
Nabil Kauk, Ahli Majlis Pusat Hizbullah dan Ali Karaki, Komander Barisan Selatan pergerakan itu, terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan pinggir bandar selatan Beirut, menurut pergerakan itu pada Ahad, lapor Sputnik.
"Komander Kanan Ali Karaki terbunuh dalam serangan udara Zionis di kawasan kejiranan Haret Hreik di pinggir bandar selatan Beirut (pada 27 September)," kata Hizbullah dalam satu kenyataan.
BERITA PENUH DI SINI
Angka korban serangan Israel di Lubnan terus meningkat - Kementerian Kesihatan
Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh manakala 195 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas Lubnan pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan negara itu.
Pesawat perang Israel meneruskan serangan udara di pinggir selatan Beirut, menyasarkan kawasan Chyah, Borj al-Barajneh dan sebahagian Lylaki, serta beberapa bandar di selatan Lubnan.
BERITA PENUH DI SINI
Kematian Hassan Nasrallah: Lubnan berkabung tiga hari
Lubnan mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari susulan kematian pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah yang terkorban dalam serangan Israel di Beirut.
Memetik laporan Al Jazeera, pejabat Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati, dalam satu kenyataan berkata tempoh berkabung secara rasmi bermula pada Isnin, dengan bendera akan dikibarkan separuh tiang di bangunan awam.
BERITA PENUH DI SINI
23 terbunuh, 65 cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan
Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dan 65 lagi cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel di beberapa kawasan di selatan Lubnan, lapor Xinhua, memetik sumber tentera Lubnan.
Sumber tentera yang enggan dikenali itu berkata pesawat dan dron Israel melancarkan kira-kira 90 serangan pada waktu petang, menyasarkan kira-kira 45 kampung dan bandar di selatan Lubnan.
BERITA PENUH DI SINI
Iraq isytihar berkabung 3 hari peringati pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah
Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia Al Sudani telah mengarahkan tempoh berkabung di seluruh negara selama tiga hari sebagai penghormatan kepada Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Beirut, menurut Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu, lapor Sputnik.
Terdahulu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata Nasrallah telah "dihapuskan" dalam serangan udara Israel ke atas Beirut pada Jumaat. Hizbullah kemudiannya secara rasmi mengesahkan kematian Nasrallah.
BERITA PENUH DI SINI
Hizbullah sahkan Hassan Nasrallah terbunuh
Kumpulan Hizbullah Lubnan mengesahkan pada Sabtu bahawa pemimpinnya terbunuh, melalui pengumuman yang disiarkan di televisyen.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata kejadian itu berlaku susulan pertempuran dengan Israel dalam usaha kumpulan tersebut menyokong Gaza dan Palestin.
BERITA PENUH DI SINI
Lubnan hadapi serangan udara besar-besaran Israel - Sumber tentera
Pesawat perang Israel melancarkan siri serangan udara ke atas lokasi Hizbullah serta bandar-bandar dan perkampungan di selatan dan timur Lubnan pada awal pagi Sabtu, kata sumber tentera negara ini.
Sumber yang enggan dikenali itu memberitahu Xinhua bahawa pesawat perang Israel melancarkan lebih daripada 100 serangan udara di selatan Lubnan dan kira-kira 50 serangan di bandar-bandar dan perkampungan di timur Lubnan.
BERITA PENUH DI SINI
Tentera Israel dakwa serang 140 sasaran Hizbullah di Lubnan
Tentera Israel berkata ia menyerang lebih 140 sasaran Hizbullah sejak Jumaat malam.
Ia termasuk infrastruktur yang tertanam di bawah bangunan kediaman di kawasan Beirut.
Gelombang serangan terbaharu ke atas Beirut meranapkan beberapa bangunan kediaman di pinggir selatan ibu kota Lubnan yang padat penduduk.
Pengeboman tanpa henti Israel telah memaksa beribu-ribu penduduk meninggalkan rumah mereka ke jalan-jalan di Beirut.
Israel turut didakwa menggunakan bom "penghancur bunker".
Hizbullah sahkan kematian Hassan Nasrallah
Hizbullah telah mengesahkan kematian pemimpinnya Hassan Nasrallah, selepas Israel mendakwa dia terbunuh dalam serangan udara pada Jumaat.
Serangan terbaharu Israel ke atas Lubnan
Salah satu serangan udara terbaharu Israel menyasarkan sebuah rumah di bandar Blat di daerah Marjayoun di selatan Lubnan, menurut Agensi Berita Nasional (NNA) yang dikendalikan kerajaan Lubnan.
Agensi itu juga melaporkan bahawa sebuah pesawat Israel menyerang pinggir bandar Tayr Debba di daerah selatan Tyre, dan sebuah kereta di laluan gunung Dahr al-Baydar yang menghubungkan Beirut dan Damsyik di pinggir Lembah Bekaa.
Terdapat juga serangan ke atas sebuah bangunan di pesisir pantai berhampiran bandar selatan Aadloun, kata NNA.
Masih belum jelas sama ada serangan ini membawa kepada sebarang kematian.
Apakah jenis bom yang digunakan Israel dalam serangan Beirut?
Sumber Al Jazeera mewawancara penganalisis tentera dan keselamatan Elijah Magnier mengenai jenis bom yang digunakan dalam serangan besar-besaran Israel di Beirut semalam.
“Kami mendapat maklumat daripada tentera udara Israel yang mengatakan mereka menggunakan 85 tan bahan letupan, di mana setiap bom adalah seberat satu tan.
“Pertama sekali, bom itu pastinya menghasilkan gegaran besar di Beirut," kata Magnier.
Menurutnya, perkara itu disahkan ramai orang di Beirut, yang menyatakan bahawa gegaran itu begitu dekat, seolah meletus tidak jauh dari mereka.
Tetapi apakah jenis bom yang telah mereka gunakan?
Menurut Magnier, hanya ada dua pilihan atau gabungan dua bom.
“Sama ada GBU-31 JDAM yang dibangunkan oleh Amerika dan wujud dalam persenjataan Israel.
"Mereka (AS) telah menghantar beribu-ribu bom ini dan ia telah digunakan di Gaza terhadap banyak sasaran.
“Dan satu lagi ialah Spice 2000 yang dibangunkan oleh pengeluar Israel Rafael.
“Dan saya rasa gabungan dua bom itu boleh mencipta kesan yang telah kita lihat – sebuah kawah di pinggir bandar Beirut, di lokasi itu, di mana semua bangunan runtuh di dalam kawah.
"Inilah sebabnya ia akan mengambil masa yang sangat lama untuk menemukan dan mengeluarkan semua mayat di dalamnya," kata Magnier lagi.
Ayatollah Ali Khamenei kutuk dasar Israel yang berpandangan cetek
Pembunuhan beramai-ramai terhadap orang yang tidak berdosa di Lubnan sekali lagi mendedahkan sifat ganas Israel dan membuktikan pandangan cetek para pemimpinnya.
Menurut Ayatollah Ali Khamenei lagi, kerajaan Israel tidak belajar daripada tindakannya di Gaza di mana pembunuhan beramai-ramai terhadap wanita, kanak-kanak, dan orang awam tidak dapat melemahk atau menggulingkan asas kukuh organisasi lawan.
Beliau menyeru umat Islam agar bersama rakyat Lubnan dan Hizbullah dengan apa jua cara dan membantu mereka dalam menghadapi rejim jahat (Israel).
Pemimpin tertinggi Iran itu juga berkata bahawa nasib rantau ini akan ditentukan oleh penentang, dengan Hizbullah di barisan hadapan.
Pemimpin Tertinggi Iran dipindah ke lokasi selamat
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei telah dipindahkan ke lokasi selamat di dalam negara dengan langkah keselamatan yang dipertingkat susulan dakwaan kematian ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah.
Perkara itu dimaklumkan oleh dua pegawai serantau kepada Reuters.
BACA BERITA PENUH DI SINI
Hizbullah umum lebih banyak serangan ke atas Israel
Dalam kenyataan yang dikeluarkan berturut-turut di saluran Telegram kumpulan itu, Hizbullah mendakwa serangan ketiga, keempat dan kelimanya hari ini ke atas kedudukan Israel.
Kenyataan itu menyebut bahawa ia menyasarkan sekumpulan askar Israel di tapak tentera "al-Sadah" dengan peluru meriam, dan menembak roket ke bandar utara Israel di Sa'ar berhampiran pantai Mediterranean dan Rosh Pina berhampiran Bukit Golan yang diduduki.
Tentera Israel masih belum mengulas mengenai serangan ini.
Israel dalam keadaan berjaga-jaga susulan dakwaan pembunuhan Hassan Nasrallah
Israel berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan konflik yang lebih meluas selepas ia mendakwa telah membunuh Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, di Beirut.
Namun, menurut jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani semasa taklimat media. dia berharap kematian Hassan akan menyebabkan Hizbullah mengubah strategi dan tindakannya.
“Kami telah melihat Hizbullah melakukan serangan terhadap kami selama setahun.
"Bolehlah diandaikan bahawa mereka akan terus melakukan serangan terhadap kami atau cuba melakukannya," katanya lagi.
Hizbullah masih belum mengulas mengenai dakwaan Israel.
Israel dakwa bunuh ketua Hizbullah - Penganalisis
Siapakah pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah?
Hassan Nasrallah, yang didakwa oleh Israel terbunuh dalam serangan di selatan Beirut, telah menjadikan Hizbullah sebagai salah satu pasukan pejuang yang paling berkuasa di Timur Tengah.
Beliau merupakan salah seorang pengasas kumpulan itu yang dibentuk empat dekad lalu dengan bantuan Iran.
Hassan Nasrallah dilantik menjadi pemimpin Hizbullah pada tahun 1992.
Beliau menggantikan penyandang dan juga mentornya Abbas Musawi, sebagai setiausaha agung Hizbullah, selepas Abbas terbunuh dalam serangan helikopter Israel.
Dilahirkan sebagai anak seorang peniaga runcit di Beirut pada Ogos 1960, Hassan Nasrallah menghabiskan awal usia remajanya di bawah bayang-bayang perang saudara Lubnan.
Ketika Israel menyerang Lubnan pada tahun 1982, Hassan Nasrallah menghimpunkan sekumpulan pejuang untuk menentang pendudukan – yang akhirnya berkembang menjadi Hizbullah.
Kumpulan pejuang Lubnan itu berkembang daripada kumpulan yang tidak teratur kepada pasukan tempur serantau di bawah Hassan Nasrallah.
Beliau memimpin pertumbuhan pasukan Hizbullah – pejuangnya dan anggota simpanan dianggarkan berjumlah 100,000 – serta pengembangan persenjataannya, yang mengandungi peluru berpandu jarak jauh, sederhana dan jarak dekat, serta dron.
Israel menggelarnya “pembuat keputusan utama dan pemimpin strategik organisasi itu.”
Rakyat Iran anjur protes terhadap Israel di Tehran
Rakyat Iran turun ke jalan-jalan di ibu negara Tehran bagi mengecam serangan dilakukan tentera Israel di Lubnan minggu lalu serta perang yang berterusan di Gaza.
Penunjuk perasaan yang berhimpun di Dataran Palestin mengibarkan bendera dan mengangkat poster pemimpin Hamas, Hizbullah dan Iran.
“Mesejnya jelas, dendam dan dendam… kesabaran orang ramai akan berakhir dan kami tidak mahu apa-apa selain membalas dendam,” kata penunjuk perasaan Mohammad Mousavi kepada Al Jazeera.
"Pasti ada jawapan, dan semestinya tidak lama lagi kerana saya tak rasa orang ramai boleh menunggu lebih lama lagi."
Mousavi berkata kematian pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, jika disahkan, akan meningkatkan kemarahan terhadap negara itu.
Lapangan terbang Lubnan halang kemasukan pesawat Iran
Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan negara itu, Ali Hamieh mengarahkan lapangan terbang Beirut untuk meminta pesawat Iran yang menuju ke sana supaya tidak memasuki ruang udara Lubnan dan tidak mendarat.
Israel berkata pesawat perangnya sedang meronda di kawasan berhampiran lapangan terbang Beirut untuk memastikan ia digunakan untuk "tujuan awam sahaja".
Tentera Israel pernah mengebom lapangan terbang Beirut dalam perang tahun 2006.
Tentera Israel berwaspada tinggi berdepan konflik
Pertahanan Awam Lubnan umum kakitangan terbunuh di Beirut
Pertahanan Awam Lubnan dalam satu kenyataan berkata seorang kakitangannya telah terbunuh ketika memberikan khidmat kecemasan di selatan Beirut, selepas serangan hebat Israel pada petang Jumaat.
Seorang kakitangan lain berada dalam keadaan kritikal, kata Pertahanan Awam Lubnan lagi.
Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan Lubnan menggesa hospital di Beirut dan Gunung Lebanon untuk berhenti menerima kes bukan kecemasan sehingga akhir minggu depan bagi memberi ruang kepada pesakit dari pinggir bandar selatan Beirut.
IDF tidak tahu berapa ramai orang awam terbunuh dalam serangan sasarkan Hassan Nasrallah
Tentera Israel belum mengetahui berapa ramai orang awam yang terbunuh dalam serangannya di selatan Beirut yang didakwa membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah.
"Saya masih tidak tahu angkanya," kata seorang pegawai tentera Israel pada Sabtu.
Mereka juga enggan mengulas mengenai jenis bom yang digunakan dalam serangan itu.
Lubnan tak boleh jadi Gaza seterusnya - Penny Wong
Israel dakwa bunuh Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah
Lebih 20 serangan udara di Lubnan, terbesar sejak 2006
Pemimpin pembangkang Israel ucap tahniah kepada tentera
Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, mengucapkan tahniah kepada tentera di atas serangan yang menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah membunuh Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak tentera, IDF dan IAF (Tentera Udara Israel) yang telah berjaya menghapuskan pembunuh beramai-ramai Hassan Nasrallah.
"Semua musuh kita harus tahu bahawa sesiapa yang menyerang Israel bakal berdepan mati.
"Ini adalah pencapaian penting dalam usaha pencegahan dan keselamatan Israel,” tulis Lapid dalam satu kenyataan di X.
Israel dakwa bunuh ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah
TENTERA Israel mendakwa telah membunuh Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah di Lubnan pada Sabtu.
Dakwaan terbaharu itu dibuat oleh jurucakap tentera rejim zionis itu, Avichay Adraee yang dimuat naik di laman X sehari selepas serangan Israel di pinggir selatan Beirut.
BACA BERITA PENUH DI SINI
UNIFIL beri amaran 'kesan dahsyat' sekiranya ketegangan berterusan di selatan Lubnan
Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Isnin memberi amaran tentang "kesan yang dahsyat" bagi seluruh rantau sekiranya serangan Israel di selatan Lubnan terus meningkat, lapor Agensi Anadolu.
Pada awal pagi Isnin, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke seluruh kawasan selatan dan timur Lubnan, menyebabkan ratusan terbunuh dan cedera.
BACA BERITA PENUH DI SINI
Angka korban serangan udara Israel di Lubnan meningkat hampir 500
Angka korban akibat serangan udara Israel di selatan dan timur Lubnan pada Isnin meningkat kepada 492 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.
Seramai 58 wanita dan 35 kanak-kanak antara yang terkorban, selain 1,645 orang cedera, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.
BACA BERITA PENUH DI SINI