Lapangan terbang John F. Kennedy dinaiki air

Agensi
Januari 8, 2018 14:28 MYT
Seorang pekerja sedang mengelap lantai di Lapangan Terbang Antarabangsa F. Kennedy dilanda banjir selepas saluran paip utama yang pecah pada Ahad. - REUTERS
Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di New York, Amerika Syarikat dilanda banjir selepas dinaiki air sedalam 8cm akibat dari limpahan air daripada saluran paip utama yang pecah pada Ahad.
Banjir itu mengakibatkan keadaan bertambah buruk selepas ratusan penumpang yang terdahulunya terkandas akibat ribut musim sejuk.
Pengarah Eksekutif Lembaga Pelabuhan New York dan New Jersey, Rick Cotton mengaku perkara yang mengakibatkan kekecohan itu berlaku tidak dapat diterima.
"Apa yang berlaku di sini tidak boleh diterima sama sekali. Siasatan menyeluruh akan dilakukan.
"Tindakan tegas juga akan diambil ke atas mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas semua masalah," tegasnya.
Menurut Rick lagi, masalah berkenaan berpunca daripada cuaca namun pihaknya akan meneliti faktor lain yang menyumbang kepada keadaan itu.
Susulan kejadian, beberapa penerbangan antarabangsa terpaksa mengubah lokasi pendaratan, manakala kelewatan pula berlaku ke atas beberapa penerbangan domestik.
#banjir #JFK #Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy #New York #paip pecah #penerbangan
;