Lapangan terbang di Bali ditutup kerana letusan Gunung Barujari
Bernama
November 4, 2015 17:10 MYT
November 4, 2015 17:10 MYT
Ribuan penumpang kapal terbang terkandas di Bali apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar terpaksa ditutup ekoran berlaku letusan Gunung Barujari dan mengeluarkan asap valkonik yang tebal di udara.
Media-media tempatan hari ini memetik Ketua Pusat Data Informasi dan Humas Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho sebagai berkata lapangan terbang itu ditutup mulai pukul 7 pagi tadi dan pihak berkuasa sedang membuat penilaian sama ada kemungkinan ia akan dibuka semula esok.
Sebanyak 692 jadual penerbangan telah dibatalkan di lapangan terbang yang paling sibuk di Indonesia dengan menerima ribuan pengunjung ke Pulau Bali pada setiap hari.
Gunung Barujari setinggi 2,376 meter di atas permukaan laut itu berada dalam kawasan Gunung Rinjani di Lombok, Nusa Tenggara Barat dan ia dilaporkan meletus pada pukul 2.45 pagi tadi.
BNPB meletakkan status Gunung Rinjani di tahap waspada tahap dua dan kerajaan tempatan belum mengeluarkan arahan berpindah kepada kira-kira 33,800 penduduk di kawasan itu tetapi mereka dilarang berada di kawasan dalam jarak tiga kilometer dari gunung.
Debu panas gunung berapi itu sedang meletus dan dianggarkan mencecah setinggi kira-kira 14,000 kaki.
#BPNP
#Humas Badan Nasional Penanggulangan Bencana
#Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai
#Sutopo Purwo Nugroho