Lapan vila mewah milik mafia dirampas
Sinar Harian
November 21, 2018 10:58 MYT
November 21, 2018 10:58 MYT
Kira-kira 600 anggota polis Itali terlibat dalam operasi merampas lapan vila mewah yang dibina oleh ketua mafia secara haram di sini.
Datuk Bandar Virginia Raggi yang menyertai operasi pada waktu subuh, berkata, harta tersebut akan dirobohkan akhir tahun ini yang dikatakan milik kumpulan gangster, Casamonica.
“Hari ini adalah hari yang bersejarah bagi bandar Rome dan penduduknya.
“Polis berjaya menamatkan kegiatan menyalahi undang-undang yang berlarutan sekian lama dan terbukti kejayaan ini adalah satu pengajaran kepada kumpulan Casamonica,” kata Raggi.
Sebelum ini, Pergerakan 5 Bintang (5 Star) dikritik hebat kerana gagal menghapuskan kegiatan gangster di ibu negara Itali itu.
Dalam pada itu, Raggi berkata, beberapa vila yang dirampas itu dibina di atas tapak arkeologi.
“Beberapa kediaman turut menampilkan ciri binaan bangunan bersejarah Felice Aqueduct,” katanya yang merujuk kepada laluan air di bandar raya itu yang dibina pada kurun ke-16.
Pada Julai lalu, seramai 33 ahli kumpulan telah diberkas.