Lapan terbunuh, puluhan cedera dalam serangan di pantai Mogadishu

Agensi
Ogos 3, 2024 08:00 MYT
Orang ramai membawa mayat seorang wanita tidak dikenali yang maut dalam letupan di pantai Lido di Mogadishu. - Foto Reuters
MOGADISHU: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam serangan di sebuah pantai di Mogadishu yang terletak di ibu kota Somalia, pada Jumaat.
Pengarah perkhidmatan Aamin Ambulance, Dr Abdikadir Abdirahmman mengesahkan kejadian tersebut kepada Reuters.
“Kami telah mengira dan mengesahkan lapan orang yang terkorban dan 28 lagi yang cedera.
"Namun, terdapat juga orang lain yang tercedera dan jumlahnya pasti akan meningkat,” katanya memetik laporan tersebut.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Somalia, Hassan Ali Khaire memaklumkan letupan berlaku ketika penduduk sedang berenang di pantai Liddo, mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Bagaimanapun, Hassan dalam kemas kini di laman X tidak memperincikan secara lanjut termasuk pihak yang bertanggungjawab.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga, saudara mara, dan rakan-rakan mereka yang terkorban dalam letupan ini.
“Fakta bahawa serangan pengganas ini berlaku pada waktu malam di pantai yang sesak (dengan orang) menunjukkan permusuhan pengganas terhadap rakyat Somalia," katanya.
Dalam pada itu, televisyen nasional Somalia memaklumkan pasukan keselamatan telah 'menghapuskan' penyerang dan petugas perubatan sedang merawat mangsa yang cedera.
Kumpulan militan Al-Shabaab didakwa telah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
#Serangan di pantai Mogadishu #Serangan di Somalia #Perdana Menteri Somalia #Hassan Ali Khaire