Lapan maut letupan di pusat pemeriksaan keselamatan Yaman

Astro Awani
Oktober 31, 2021 09:41 MYT
Orang ramai melihat kebakaran susulan letupan yang berlaku di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Aden. - Foto REUTERS
ADEN: Sekurang-kurangnya lapan terbunuh dalam satu letupan yang menggegarkan bandar Aden di selatan Yaman pada petang Sabtu.
Letupan berlaku berhampiran pusat pemeriksaan keselamatan di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Aden, menyebabkan 11 yang lain cedera.
Ini bukan kali pertama bandar pesisir pantai itu digegarkan dengan insiden letupan.
Serangan sebelum ini didakwa didalangi sekutu tempatan Al-Qaida dan kumpulan pengganas.
Pemberontak Houthi yang disokong Iran juga didakwa menyasarkan bandar itu dengan peluru berpandu balistik dan dron.
Aden telah menjadi kerusi kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak pemberontak Houthi yang disokong Iran mengambil alih ibu kota, Sanaa, pada 2014 yang mencetuskan perang saudara Yaman.
Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi memulakan operasi ketenteraan ke atas pemberontak Houthi pada Mac 2015.
Operasi ini turut disokong oleh Amerika Syarikat.
Walaupun kempen udara dan darat dilakukan tanpa henti, perang yang berlaku telah menemui jalan buntu, dan mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk dunia di Yaman.
#letupan #maut #lapangan terbang #al-Qaida
;