Lapan maut, dua juta terjejas banjir di Bangladesh

Astro Awani
Julai 7, 2024 09:40 MYT
Lebih dua juta orang terjejas akibat banjir berkenaan dengan 17 daripada 64 daerah di negara itu ditenggelami air. - Foto X/ Rafiqul Montu
DHAKA: Bencana banjir di Bangladesh pada minggu ini menyebabkan lapan orang maut, manakala lebih dua juta lagi penduduk terjejas selepas hujan lebat melanda negara itu.
Bangladesh yang mempunyai 170 juta orang penduduk itu mengalami bencana banjir yang lebih kerap dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Perubahan iklim menjadikan cuaca hujan tidak menentu dan mencairkan glasier di hulu pergunungan Himalaya.
Dua remaja lelaki maut apabila sebuah bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian banjir di Shahjadur.
Menurut Ketua Polis Luar Bandar negara berkenaan, Sabuj Rana, terdapat sembilan orang di dalam bot kecil itu dan tujuh daripadanya berenang ke tempat selamat manakala dua lagi tidak tahu berenang, sebelum mereka lemas.
Ketua Polis Kurigram, Bishwadeb Roy memberitahu, tiga lagi terbunuh dalam dua kejadian renjatan elektrik berasingan, selepas bot mereka terjerat dengan wayar elektrik hidup dalam air banjir.
Mengikut laporan daripada penguat kuasa, tiga lagi maut dalam kejadian berkaitan banjir berasingan di seluruh Bangladesh.
Setiausaha Kementerian Pengurusan Bencana Bangladesh, Kamrul Hasan berkata, kerajaan membuka ratusan tempat perlindungan kepada mangsa banjir serta memberi bantuan dan menghantar makanan ke daerah yang dilanda teruk di wilayah utara negara itu.
Lebih dua juta orang terjejas akibat banjir berkenaan dengan 17 daripada 64 daerah di negara itu ditenggelami air.
Keadaan banjir mungkin bertambah buruk di bahagian utara negara itu dalam beberapa hari akan datang.
Bangladesh berada di tengah-tengah monsun musim panas tahunan yang membawa 70 hingga 80 peratus daripada hujan tahunan di kawasan Asia Selatan yang menyebabkan kematian serta kemusnahan akibat banjir dan tanah runtuh.
Cuaca hujan sukar diramalkan dan berbeza-beza, namun saintis mendakwa perubahan iklim menjadikan monsun lebih kuat dan tidak menentu.
#banjir #hujan lebat #tanah runtuh #monsun
;