Lapan lagi mayat ditemukan, korban runtuhan kondominium Florida kini 36 orang
Astro Awani
Julai 7, 2021 09:26 MYT
Julai 7, 2021 09:26 MYT
MIAMI: Pasukan mencari dan menyelamat pada Selasa berjaya menemukan lapan lagi mayat mangsa runtuhan menara kondominium Champlain Towers South di Florida.
Mayat ditemukan selepas struktur bangunan yang tinggal dirobohkan pada Ahad.
Seramai 109 penghuni yang mungkin berada di dalam bangunan ketika ia runtuh masih hilang, lapor CNN.
Angka itu walau bagaimanapun mungkin berubah apabila penyiasat dapat mengesahkan senarai penduduk.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan walaupun kemungkinan menemui mangsa yang terselamat di bawah runtuhan itu semakin tipis.
Memburukkan lagi keadaan apabila ribut tropika dan hujan lebat serta kemungkinan angin puting beliung bakal menyukarkan lagi operasi.
Kondominium tepi pantai Champlain Towers South itu runtuh pada pagi 24 Jun lalu ketika penghuninya nyenyak tidur.