Lapan cedera ringan dalam kemalangan roller coaster Oktoberfest di Munich
Bernama
September 17, 2023 18:26 MYT
September 17, 2023 18:26 MYT
MUNICH: Lapan orang cedera ringan apabila dua tren roller coaster berlanggar pada pagi Ahad, hari pertama festival 18 hari Munich Oktoberfest, lapor agensi berita dpa.
Pakar perubatan berkata, kebanyakan mangsa hanya mengalami lebam dan tiga orang dibawa ke hospital untuk penilaian lanjut.
Susulan kemalangan itu, permainan itu yang dikenali sebagai Hollenblitz atau Hell's Lightning - ditutup sementara menunggu siasatan lanjut, kata polis.
Dalam kejadian itu, sebuah tren berlanggar sebuah tren yang tidak bergerak atas sebab yang tidak diketahui, kata pengarah permainan itu Willi Ottens kepada dpa pada Ahad.
Setiap tren memuatkan kira-kira 30 orang, katanya.
"Terdapat sedikit perlanggaran antara kedua-dua kereta api, semua orang turun sendiri daripada tren," kata Ottens.
Menurut Ottens, Hell's Lightning ialah roller coaster dalaman terbesar di dunia.
Perayaan Oktoberfest terkenal yang berlangsung setiap tahun di Munich, menarik berjuta-juta pelawat tempatan dan antarabangsa ke ibu kota Bavaria selama beberapa minggu pada bulan September dan Oktober.
-- BERNAMA