Lapan cedera insiden tikaman di kompleks beli-belah Minnesota
Agensi
September 18, 2016 14:23 MYT
September 18, 2016 14:23 MYT
Seorang penyerang di sebuah kompleks beli-belah di St Cloud, Minnesota pada Sabtu, ditembak mati selepas dia mencederakan sekurang-kurangnya lapan orang dengan menikam mereka.
Serangan di Crossroads Mall, kira-kira 97km di barat laut Minneapolis itu berlaku sekitar jam 8 malam waktu tempatan, ujar pihak polis St Cloud dalam satu kenyataan, lapor Reuters.
Para saksi memberitahu media bahawa mereka terdengar bunyi tembakan.
"Kami ingin mengesahkan bahawa individu yang dipercayai bertanggungjawab menikam beberapa mangsa kini sudah mati di dalam kompleks beli-belah itu," kata polis.
Polis mengesahkan suspek kes itu ditembak mati oleh seorang pegawai polis yang ketika itu di luar waktu bertugas.
Jurucakap polis bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberi butiran lanjut.
Sementara itu, jurucakap Hospital St Cloud, Chris Nelson, berkata lapan pesakit telah dirawat di hospital berkenaan namun tiada seorangpun yang mengalami kecederaan yang berisiko kepada nyawa.
Polis berkata, mangsa-mangsa yang digegaskan ke hospital mengalami kecederaan akibat ditikam, manakala motif serangan itu masih belum diketahui.