Laos sasar 4.3 juta pelancong asing pada 2025

Bernama
Februari 11, 2025 05:30 MYT
Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos telah memperkenalkan pelan pembangunan pelancongan yang berdaya saing bagi tempoh 2026-2030. - Gambar fail
VIENTIANE: Laos menyasarkan untuk menarik 4.3 juta pelancong antarabangsa pada 2025, dengan jangkaan menjana pendapatan lebih US$1 bilion, lapor Xinhua.
Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos telah memperkenalkan pelan pembangunan pelancongan yang berdaya saing bagi tempoh 2026-2030.
Strategi itu bertujuan memperluas sektor pelancongan di wilayah utara, tengah dan selatan negara itu, dengan menumpukan kepada penambahbaikan infrastruktur dan perkhidmatan di destinasi utama, menurut laporan Socio-Economic News pada Selasa.
Kementerian berkenaan juga berhasrat meningkatkan pengurusan dan pemantauan di lokasi pelancongan utama bagi memastikan ia memenuhi standard kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus menyediakan persekitaran yang selamat dan mesra kepada pelawat.
Selain itu, kementerian merancang untuk meningkatkan penglibatan masyarakat tempatan dalam pembangunan pelancongan, dengan menekankan kepentingan kepakaran dan pengalaman mereka dalam mempelbagaikan tawaran pelancongan negara.
Tumpuan turut diberikan kepada aspek perkhidmatan pelanggan, keselamatan pelancong serta amalan pelancongan mampan bagi memelihara warisan semula jadi dan budaya Laos.
Bagi memperkukuh kedudukan Laos sebagai destinasi pelancongan utama, kementerian akan terus menggunakan kempen media bagi menyampaikan maklumat pelancongan yang tepat dan terkini.
Di samping itu, kementerian merancang untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam menganjurkan acara utama yang bertujuan meningkatkan profil antarabangsa negara itu. - BERNAMA
#sektor pelancongan #swasta #kempen media #standard kebangsaan
;