Laos berusaha tingkatkan ekonomi digital
Bernama
Disember 19, 2024 04:30 MYT
Disember 19, 2024 04:30 MYT
VIENTIANE: Forum Digital Laos Keenam diadakan di ibu negara Laos, Vientiane, dengan tumpuan kepada peranan transformasi teknologi kewangan (fintech) serta membincangkan kesannya terhadap masa depan ekonomi Laos, menandakan pencapaian penting dalam usaha negara itu menuju ekonomi digital yang berdaya maju, lapor Xinhua.
Acara itu menghimpunkan pemimpin daripada kerajaan Laos, institusi kewangan, perniagaan dan inovator teknologi, dengan fokus kepada peluang untuk meletakkan Laos sebagai pemain baru muncul dalam ekonomi digital ASEAN, menjadikan fintech sebagai pemangkin utama pertumbuhan, lapor Lao Economic Daily pada Khamis.
Semasa acara itu, bank pusat Laos, iaitu Bank of the Lao PDR (BOL), memberikan maklumat terkini mengenai landskap kawal selia. Para peserta turut membincangkan Undang-undang Sistem Penyelesaian Pembayaran dan Undang-undang Perbankan yang baru diluluskan.
Forum Digital Laos berfungsi sebagai platform untuk dialog terbuka dan kerjasama antara pihak berkepentingan utama. Forum tahun ini menekankan momentum yang semakin meningkat untuk inovasi fintech di Laos, memacu kemajuan ke arah masa depan digital yang lebih inklusif dan mampan.
-- BERNAMA