AS lantik utusan untuk hak asasi wanita, gadis Afghanistan

Bernama
Disember 30, 2021 11:01 MYT
Blinken turut melantik Stephenie Foster sebagai penasihat kanan untuk isu wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pasukan Penyelaras Jabatan Negara untuk Usaha Penempatan Semula Afghanistan (CARE). - Foto AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Rabu melantik bekas pegawai Jabatan Negara, Rina Amiri, sebagai utusan khas untuk wanita, gadis dan hak asasi manusia Afghanistan.
"Sebagai Utusan Khas, beliau akan bertanggungjawab bagi isu yang sangat penting bagi saya, Pentadbiran ini dan keselamatan negara AS: hak asasi manusia dan kebebasan wanita, kanak-kanak perempuan dan populasi berisiko yang lain dalam apa jua keadaan," kata Setiausaha Negara Antony Blinken dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
"Kami inginkan Afghanistan yang aman, stabil dan selamat, dengan semua rakyatnya boleh hidup dan berkembang maju dalam politik, ekonomi dan sosial. Utusan Khas Amiri akan bekerjasama rapat dengan saya ke arah matlamat itu," tambahnya.
Blinken turut melantik Stephenie Foster sebagai penasihat kanan untuk isu wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pasukan Penyelaras Jabatan Negara untuk Usaha Penempatan Semula Afghanistan (CARE).
"Dua pemimpin yang berkelayakan tinggi dan dihormati ini akan memikul tugas penting Jabatan Negara untuk menyokong wanita, gadis dan hak asasi manusia Afghanistan," tambahnya.
Amiri berkhidmat di Jabatan Negara di bawah bekas Presiden Barack Obama.
Pada akhir Ogos, selepas 20 tahun kehadiran tentera dan diplomatik di negara itu, AS berundur dari Afghanistan. Kepulangan Taliban menyebabkan gadis dan wanita di negara itu hanya mempunyai beberapa pilihan untuk pendidikan.
-- BERNAMA
#Rina Amiri #Afghanistan #utusan khas #Amerika Syarikat
;