AS lanjut larangan berurusan dengan Huawei selama 90 hari lagi

Astro Awani
Ogos 19, 2019 21:58 MYT
AS melanjutkan penangguhan 90 hari lagi atas larangan berurusan dengan Huawei. -Gambar fail
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melanjutkan penangguhan 90 hari lagi atas larangan berurusan dengan Huawei dan menambah lebih 40 lagi anak syarikat gergasi teknologi China itu dalam senarai larangan berkenaan.
Menurut setiausaha perdagangan Wilbur Ross, penangguhan untuk memberi masa kepada syarikat rangkaian internet kecil di AS untuk beralih kepada produk lain bagi mengelakkan sebarang gangguan.
Ini kerana, katanya, segelintir firma di luar bandar masih bergantung kepada Huawei.
Selain itu, Ross turut mengumumkan penambahan 46 syarikat yang mempunyai kaitan dengan Huawei disenaraikan dalam sekatan berkenaan.
Huawei adalah pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia dan dianggap sebagai peneraju kepada teknologi 5G.
Pengharaman berkenaan menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.
#Amerika Syarikat #China #Huawei #penangguhan 90 hari #syarikat gergasi teknologi China #teknologi 5G #Wilbur Ross