Langkah pemutus rantaian Singapura: S$300 denda, tiada lagi amaran bertulis

Bernama
April 11, 2020 05:22 MYT
Pada hari pertama, lebih 7,000 nasihat bertulis dikeluarkan kepada orang awam yang melanggar langkah pemutus rantaian, kebanyakannya di pusat penjaja dan pasar. - Gambar hiasan
Bermula Ahad, hari keenam pelaksanaan langkah pemutus rantaian selama sebulan, Singapura akan mengenakan denda S$300 bagi sebarang kesalahan berkaitan.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air republik itu, Masagos Zulkifli, masih ramai lagi yang tidak mengambil secara serius langkah pemutus rantaian itu.
"Kami mengeluarkan lebih 3,000 amaran keras hari ini dan lebih banyak denda! Penalti yang lebih berat adalah diperlukan," catat beliau di laman Facebooknya pada Sabtu.
Bermula Ahad, Masagos berkata pegawai penguat kuasa tidak lagi mengeluarkan amaran bertulis.
Menteri itu berkata mana-mana pesalah yang ditahan pegawai penguat kuasa akan diminta butiran mereka serta-merta, dan akan dikenakan denda S$300 bagi kesalahan pertama manakala bagi pasalah berulang akan berdepan denda yang lebih tinggi atau didakwa di mahkamah untuk kes yang lebih berat.
Pada hari pertama, lebih 7,000 nasihat bertulis dikeluarkan kepada orang awam yang melanggar langkah pemutus rantaian, kebanyakannya di pusat penjaja dan pasar.
Untuk terus melindungi kesihatan awam, Masagos berkata kementerian itu mewajibkan semua pengendali makanan dan peniaga pasar basah untuk memakai penutup mulut dan hidung.
"Ia akan berkuat kuasa bermula 13 April. Semua pengunjung ke pasar basah perlu memakai penutup hidung dan mulut bermula esok (Ahad).
"Mereka yang tidak memakai penutup, tidak akan dibenarkan masuk ke 40 pasar yang diuruskan oleh Agensi Alam Sekitar Negara (NEA) atau pengendali yang dilantik NEA," katanya.
Agensi itu adalah lembaga berkanun di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air.
-- BERNAMA
#amaran #COVID-19 #denda #Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air #mahkamah #Masagos Zulkifli #pasar #Pemutus Litar #penalti #pengendali makanan #penjaja #Penutup mulut dan hidung #Singapura
;