Langkah konkrit diperlukan untuk tangani kesan perubahan iklim - Jokowi

Bernama
November 16, 2023 04:40 MYT
Joko Widodo ketika tiba untuk menghadiri majlis resepsi mengalukan kedatangan pemimpin APEC di San Francisco, California, 15 Nov 2023. - REUTERS
JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menekankan bahawa kerjasama dan langkah strategik yang konkrit amat penting bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang semakin mengancam, lapor Agensi Berita ANTARA.
"Tanpa elemen ini, adalah mustahil untuk kita menjamin kelestarian Bumi yang kita cintai," kata Jokowi dalam syarahan umum di Universiti Stanford, San Francisco, AS, pada Rabu.
Menurut presiden itu, Indonesia telah mengambil peranan dan komited untuk menangani perubahan iklim dan melaksanakan program peralihan tenaga dengan mengurangkan 91.5 juta tan pelepasan wasap.
Di samping itu, kadar penebangan hutan setakat 2022 telah dikurangkan kepada 104 ribu hektar, 77 ribu hektar kawasan hutan telah dipulihkan dan 34 ribu hektar hutan paya bakau dipulihkan hanya dalam tempoh satu tahun.
Beliau berkata pada masa ini, masih terdapat cabaran besar bagi Indonesia dan negara membangun lain untuk melaksanakan peralihan tenaga, terutamanya daripada segi pemindahan teknologi dan pembiayaan.
"Setakat ini, pembiayaan iklim semasa menyerupai amalan perniagaan konvensional, sama seperti bank komersial. Sebaliknya, ia harus menggunakan pendekatan yang lebih membina, mengelak daripada hutang yang hanya akan memburukkan lagi tekanan kewangan kepada negara-negara miskin dan membangun," katanya.
Dalam pada itu, Jokowi turut menggariskan beberapa usaha yang telah dilakukan Indonesia untuk melaksanakan peralihan tenaga.
Beliau menunjukkan bahawa antara usahanya adalah pembinaan loji tenaga solar terapung Cirata di Jawa Barat yang baharu dirasmikan.
"Ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara, loji tenaga suria berkapasiti 192 megawatt yang baharu sahaja dirasmikan," katanya.
Dalam melangkah ke depan, Indonesia akan terus melaksanakan usaha yang sama bagi melindungi alam sekitar dan menyokong peralihan tenaga, seperti yang akan dilaksanakan di ibu negara Nusantara.
Ibu negara baharu itu direka sebagai bandar pintar berasaskan alam semula jadi yang kemudiannya memanfaatkan tenaga hijau daripada matahari dan air.
-- BERNAMA
#San Francisco #Joko Widodo #Indonesia #perubahan iklim
;