Langgar SOP: Menteri Kesihatan Britain minta maaf

Astro Awani
Jun 25, 2021 07:39 MYT
Matt Hancock dan Gina Coladangelo di luar ibu pejabat BBC di London, Britain, 6 Jun, 2021. - REUTERS
MENTERI Kesihatan Britain pada Jumaat meminta maaf kerana melanggar sekatan pergerakan selepas sebuah akhbar menyiarkan gambarnya memeluk mesra serta mencium seorang wanita yang menjalin hubungan sulit dengannya.
Matt Hancock merupakan pegawai kanan kerajaan terbaharu dituduh melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan terhadap rakyat Britain, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
"Saya mengaku melanggar SOP penjarakan fizikal dalam keadaan yang disebutkan itu. Saya telah mengecewakan orang ramai.
"Saya akan teruskan kerja dengan tumpuan untuk mengeluarkan negara dari wabak ini, dan memohon keluarga saya diberi privasi dalam isu hal peribadi ini," katanya dalam satu kenyataan.
Akhbar tabloid Sun pada Jumaat memaparkan gambar menunjukkan Hancock, 42 tahun, yang sudah berkahwin selama 15 tahun, dan seorang pembantu wanita, berpelukan dan bercium di sebuah pejabat di Jabatan Kesihatan.
Gambar itu didakwa diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) pada 6 Mei - 11 hari sebelum peraturan sekatan pergerakan dilonggarkan, membolehkan pelukan dan hubungan fizikal lain di luar rumah sendiri.
Sementara itu, parti pembangkang menggesa Hancock dipecat kerana melanggar sekatan.
Pembantu wanita itu, Gina Coladangelo, 43 tahun, mula bekerja tahun lalu sebagai penasihat tanpa gaji dan tahun ini menjadi pengarah bukan eksekutif di Jabatan Kesihatan.
Dia yang dilaporkan dibayar gaji sekitar 15,000 pound setahun, dikatakan telah lebih 20 tahun berkawan rapat dengan Hancock.
Hancock menerima tekanan selama berminggu-minggu sejak bekas pembantu perdana menteri Dominic Cummings menuduhnya menyebabkan kegagalan kerajaan dalam mengawal wabak COVID-19 di United Kingdom.
#Britain #SOP #pembangkang #COVID-19 #langgar SOP #Maaf #peluk #jabatan kesihatan #CCTV #berciuman #Matt Hancock #sekatan pergerakan #tabloid #pembantu kanan #pembantu wanita #Gina Coladangelo
;