Langgar protokol kesihatan COVID-19, pemimpin FPI dipenjara lapan bulan
Khairunnisa Kasnoon
Mei 27, 2021 06:35 MYT
Mei 27, 2021 06:35 MYT
JAKARTA: Mahkamah Indonesia menjatuhkan penjara lapan bulan terhadap pemimpin dan pengasas pertubuhan Barisan Pembela Islam (FPI), Habib Rizieq Shihab atas kesalahan melanggar protokol kesihatan COVID-19.
Panel tiga hakim di Pengadilan Negeri Jakarta Timur memutuskan Rizieq Shihab melanggar protokol kesihatan COVID-19 dengan mengadakan acara yang dihadiri oleh ribuan penyokong untuk menyambut Maulidur Rasul dan pernikahan anak perempuannya pada November lalu.
Selain Rizieq, lima anggota FPI yang lain turut dihukum penjara lapan bulan atas tuduhan sama.
Perhimpunan itu berlangsung kurang dari seminggu selepas kepulangannya daripada pengasingan tiga tahun di Arab Saudi.
Rizieq telah ditahan polis sejak 13 Disember.
Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman 34 bulan penjara dan juga menuntut agar Rizieq yang telah dua kali disabitkan dengan jenayah pada 2003 dan 2008, dilarang memegang peranan kepimpinan dalam mana-mana organisasi selama tiga tahun akan datang.