Langgar kuarantin COVID-19: Lelaki maut didakwa 'dipaksa' buat 300 senaman cangkung
Agensi
April 6, 2021 20:49 MYT
April 6, 2021 20:49 MYT
SEORANG lelaki maut selepas dia dipercayai dipaksa melakukan senaman mencangkung (squats) oleh pihak berkuasa kerana melanggar kuarantin COVID-19, menurut keluarganya.
Darren Manaog Penaredondo, 28, dilaporkan diberkas pada 1 April lalu selepas meninggalkan kediamannya selepas waktu perintah berkurung di wilayah Covite, bandar General Trias, di Luzon, Filipina memetik laporan portal berita, The Independent pada Selasa.
Covite memperkenalkan perintah berkurung yang ketat untuk melandaikan lengkuk penularan pandemik COVID-19.
Menurut keluarga mangsa, Adrian Lucena dalam satu pautan di Facebook, Darren dan beberapa individu yang dipercayai melanggar waktu berkurung telah dipaksa melakukan 100 kali senaman mencangkung di sebuah stesen polis tempatan.
Pihak berkuasa dipercayai memberitahu mereka untuk mengulangi senaman itu sekiranya rutin mereka tidak sekata.
Pasangan Darren, Reichelyn Balce melaporkan kepada portal berita tempatan, Rappler, Darren mengalami masalah untuk bergerak pada keesokan harinya. Akibat terlalu penat, Balce melaporkan Darren terpaksa merangkak sepanjang hari.
“Darren mengalami masalah jantung,” katanya memetik portal berita GMA News.
Beberapa jam kemudian, Darren didakwa diserang sawan dan mula tidak sedarkan diri. Dia sedar seketika sebelum dilaporkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Menurut Ketua Polis bandar General Trias, Marlo Solero, tiada penderaan fizikal dikenakan ke atas pesalah. Kebiasaannya mereka hanya diberi amaran dan membuat khidmat masyarakat seperti mengutip sampah.
Filipina merekodkan kes pandemik terburuk di Asia Tenggara, dan setakat 6 April telah merekodkan 800,000 kes dan 13,817 kematian.
Tahun lalu, Human Rights Watch menyuarakan kebimbangannya ke atas dakwaan tangkapan orang awam kerana melanggar perintah berkurung. Menurut Human Rights Watch, terdapat dakwaan yang polis tempatan dipaksa dikurung dalam sangkar anjing.