Langgar hak cipta, 17 penerbit muzik saman Twitter AS$250 juta
Agensi
Jun 15, 2023 14:03 MYT
Jun 15, 2023 14:03 MYT
WASHINGTON: Sekumpulan 17 penerbit muzik di Nashville, Tennesse menyaman Twitter atas dakwaan syarikat itu membenarkan ribuan pelanggaran hak cipta dengan membenarkan pengguna menyiarkan muzik tanpa lesen.
Twitter didakwa mendorong penglibatan pengguna dengan "salinan komposisi muzik yang tidak terkira banyaknya"," kata tuntutan mahkamah tersebut.
Ahli Persatuan Penerbit Muzik Kebangsaan (NMPA), termasuk Sony Music Publishing, Pengurusan Hak BMG dan Universal Music Publishing Group, menuntut lebih daripada AS$250 juta sebagai ganti rugi atas dakwaan pelanggaran hampir 1,700 hak cipta.
Tuntutan itu juga berkata pelanggaran tersebut yang sudah lama berlarutan, menjadi lebih teruk sejak Elon Musk membeli Twitter pada Oktober, namun platform utama lain seperti TikTok, Facebook dan YouTube melesenkan muzik dengan cara yang betul.
Presiden NMPA, David Israelite dalam satu kenyataan mendakwa Twitter adalah satu-satunya platform media sosial terbesar yang enggan melesenkan lagu dalam perkhidmatannya.
Saman itu juga mewakili beberapa nama besar dalam industri termasuk Taylor Swift, Beyoncé, The Weeknd, Ed Sheeran, the Rolling Stones, Lady Gaga, Miranda Lambert dan Rihanna.