AS lancar serangan udara terhadap IS di Baghdad buat kali pertama

AFP
September 16, 2014 12:12 MYT
Serangan memusnahkan enam kenderaan IS berhampiran Sinjar dan kubu serangan IS di barat daya Baghdad.
Pesawat pejuang Amerika Syarikat melakukan serangan udara buat kali pertama ke atas Islamic State (IS) berdekatan Baghdad di kala diplomat dunia berjanji pada Isnin untuk menyokong Iraq dalam usaha menentang puak militan.
Amerika Syarikat pada awal bulan lalu telah memulakan serangan udara terhadap lokasi IS di utara Iraq, tetapi pengumuman semalam bahawa kempen itu telah menyasarkan kumpulan jihad berhampiran ibu kota Iraq, menandakan satu peningkatan dalam skop misi tersebut.
"Tentera Amerika terus menyerang pengganas ISIL (IS) di Iraq, melancarkan serangan dan menggunakan pesawat pejuang untuk membuat dua serangan udara pada Ahad dan Isnin bagi menyokong pasukan keselamatan Iraq berhampiran Sinjar dan barat daya Baghdad," kata Pusat Kawalan AS dalam satu kenyataan.
"Serangan udara di barat daya Baghdad adalah serangan pertama yang merupakan sebahagian daripada peningkatan usaha kami dalam mengorak langkah ke hadapan demi melindungi rakyat dan misi kemanusiaan dengan memusnahkan sasaran ISIL, seperti yang digariskan dalam ucapan presiden Rabu lalu."
Serangan itu telah memusnahkan enam kenderaan IS berhampiran Sinjar dan kubu serangan IS di barat daya Baghdad.
#Amerika Syarikat #Islamic State (IS)
;