Laluan sempadan utama Afghanistan-Pakistan ditutup
Astro Awani
September 6, 2023 07:30 MYT
September 6, 2023 07:30 MYT
PESHAWAR: Laluan di sempadan utama antara Afghanistan dan Pakistan ditutup sejak semalam, selepas pasukan keselamatan dari kedua-dua negara dilaporkan berbalas tembakan.
Menurut sumber keselamatan Pakistan, selepas 24 jam, sehingga kini sempadan masih belum dibuka.
Penduduk tempatan berkata, terdapat bunyi tembakan di persimpangan Torkham dan orang ramai di sekitar kawasan sempadan yang sibuk berhampiran Khyber Pass bertindak menyelamatkan diri apabila serangan semakin sengit.
Pegawai keselamatan dari kawasan itu, yang enggan dikenali, berkata tentera Taliban dan Pakistan saling berbalas tembakan, namun belum tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap kerajaan tempatan di wilayah Nangahar, timur Afghanistan, dan jurucakap Pejabat Luar Pakistan pula masih enggan mengulas lanjut.
Pertikaian yang dikaitkan dengan sempadan sejauh 2,600 kilometer sering menjadi punca perbalahan antara negara berjiran itu selama beberapa dekad.
Titik sempadan Torkham ialah tempat transit utama bagi pengembara dan barangan antara Pakistan serta Afghanistan.
Laluan itu ditutup banyak kali sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pada Februari lalu yang menyaksikan ribuan trak barangan terkandas di sempadan selama beberapa hari.