Laluan kereta api Dohazari-Cox's Bazar dorong pembangunan ekonomi Bangladesh

Bernama
November 13, 2023 06:30 MYT
Sheikh Hasina ketika berucap pada upacara itu berkata pembukaan laluan kereta api itu menandakan permulaan satu era baharu. - Foto CMG
COX'S BAZAR: Upacara perasmian laluan kereta api Dohazari-Cox's Bazar yang dibina dengan kerjasama syarikat China diadakan di sini, pada 11 November.
Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina ketika berucap pada upacara itu berkata pembukaan laluan kereta api itu menandakan permulaan satu era baharu.
"Penantian sekian lama penduduk Cox's Bazar kini menjadi kenyataan," kata Hasina sambil menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua individu yang terlibat dalam menjayakan projek itu.
Ketua Pengurus China Civil Engineering Construction Bangladesh Limited, Ke Changliang, berkata projek itu telah mendorong kepada peningkatan tahap pembinaan infrastruktur tempatan dan memperlihatkan konsep "bermuafakat, membina bersama dan berkongsi" daripada inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Untuk rekod, projek kereta api Dohazari-Cox's Bazar satu daripada 10 projek pembangunan utama di Bangladesh dan merupakan komponen penting Koridor Ekonomi Bangladesh-China-India-Myanmar.
Projek itu hasil kerjasama China Civil Engineering Construction Corporation (CCECC) dan China Railway Group Limited (CREC).
Dengan pembukaan laluan itu, masa perjalanan dari pelabuhan terbesar Bangladesh Chittagong ke kota sempadan Bangladesh-Myanmar Cox's Bazar hanya mengambil masa dua jam berbanding sebelum ini kira-kira enam jam.
Laluan yang turut memainkan peranan penting daripada jaringan kereta api Pan Asia itu dijangka memberikan impak positif terhadap pembangunan ekonomi di Bangladesh bahkan Asia Selatan untuk jangka masa panjang.
-- BERNAMA
#Bangladesh #pembangunan ekonomi #impak positif #pelabuhan terbesar
;