Laluan baharu kereta api pengangkut China-Vietnam jimatkan masa perjalanan

Bernama
Ogos 23, 2022 06:00 MYT
Laluan baharu kereta api pengangkut antara China-Vietnam melalui pelabuhan Pingxiang Guangxi itu dapat menjimatkan masa perjalanan kepada lapan hari sejauh 2,384 kilometer. - Foto Twitter Pacific_Dialog
XI'AN: Sebuah kereta api pengangkut meninggalkan pelabuhan antarabangsa Xi'an di barat laut Wilayah Shaanxi China pada Selasa menuju ke Hanoi, Vietnam, sekali gus menandakan jalinan baharu pengangkutan darat antara China-Vietnam, lapor Xinhua.
Kereta api dengan 41 gerabak itu mengangkut asbestos dari Kazakhstan ke Xi'an menerusi perkhidmatan kereta api pengangkut China-Eropah.
Sebelum ini, perkhidmatan penghantaran mengambil masa kira-kira 20 hari dari Xi'an untuk sampai ke Vietnam dengan menggunakan pengangkutan rel dan laut.
Laluan baharu kereta api pengangkut antara China-Vietnam melalui pelabuhan Pingxiang Guangxi itu dapat menjimatkan masa perjalanan kepada lapan hari sejauh 2,384 kilometer.
Jumlah dagangan antara China dan ASEAN dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berjumlah 3.53 trilion yuan (kira-kira US$514.3 bilion).
Perkhidmatan kereta api itu membolehkan China mengembangkan perniagaan di pasaran ASEAN.
-- BERNAMA
#jalinan baharu pengangkutan darat #China-Vietnam #kereta api pengangkut #pelabuhan antarabangsa Xi'an
;