Lalu lintas di Terusan Suez kembali pulih

Bernama
September 1, 2022 12:27 MYT
Terusan Suez merupakan laluan air strategik yang menghubungkan Mediterranean dan Laut Merah dan dianggap sebagai sumber utama mata wang asing bagi kerajaan Mesir. - Foto REUTERS
ANKARA: Kapal tangki Affinity V yang terkandas dan menjejaskan lalu lintas perkapalan di Terusan Suez, telah ditunda dan kini bergerak perlahan-lahan, lapor Agensi Anadolu.
Pelayaran di terusan itu terhenti awal Khamis selepas sebuah kapal tangki minyak yang berdaftar di Singapura dilaporkan terkandas di laluan perkapalan yang sibuk itu.
Menurut TankerTrackers.com, kapal tangki itu hilang kawalan semasa menuju ke selatan dan kemudiannya dilanggar oleh sebuah kapal tangki yang lebih kecil Amelia sebelum ia terhenti.
Namun, Affinity V berjaya diapungkan semula kerana tidak membawa muatan penuh kargo.
Terusan Suez merupakan laluan air strategik yang menghubungkan Mediterranean dan Laut Merah dan dianggap sebagai sumber utama mata wang asing bagi kerajaan Mesir.
Terusan berusia 152 tahun itu menerima 12 peratus daripada trafik perdagangan global dan mengekalkan kepentingannya dalam perdagangan dunia.
Pada 2021, satu daripada kapal kontena terbesar -- Ever Given -- tersangkut di terusan berkenaan selama 106 hari dan menyebabkan kerugian besar dalam perdagangan global dan ekonomi Mesir.
-- BERNAMA
#Terusan Suez #kapal tangki minyak #kapal terkandas #AFFINITY V
;