Lai Ching-te bakal angkat sumpah sebagai presiden baharu Taiwan

Bernama
Mei 20, 2024 14:06 MYT
Lai telah mengulangi sejak kemenangannya pada Januari bahawa pentadbirannya akan terus mengukuhkan asas yang telah dibina oleh Tsai. - Foto AP
TAIPEI: Lai Ching-te dari Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah Taiwan, dijadualkan mengangkat sumpah dan memulakan tugas sebagai presiden pulau berkerajaan sendiri itu pada Isnin, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa).
Menurut Kementerian Luar Taiwan, lebih daripada 500 tetamu asing daripada 51 delegasi merancang untuk menghadiri upacara pelantikan dan aktiviti berkaitan, termasuk pemimpin dari lapan negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Taiwan.
Lai, 64, anak kepada pelombong arang batu dan seorang doktor terlatih, menggantikan Tsai Ing-wen, 67, untuk memimpin demokrasi yang dinamik di tengah-tengah peningkatan ancaman di pentas global dari rejim autoritarian, seperti China, yang mendakwa pulau berkerajaan sendiri dengan lebih daripada 23 juta penduduk sebagai wilayahnya. Taiwan mempunyai kerajaan bebas sejak 1949.
Tsai Ing-wen tidak dapat bertanding lagi selepas tamat tempoh maksimum dua penggal. Lapan tahun beliau memegang jawatan itu bertujuan untuk mengekalkan status quo antara Taiwan dan China serta meningkatkan keterlihatan antarabangsa Taiwan di tengah-tengah situasi geopolitik yang kompleks.
Parti Komunis China menganggap DPP sebagai pemisah dan telah mengancam untuk menyerang Taiwan jika parti tersebut melakukan sebarang langkah rasmi ke arah kemerdekaan. DPP menyatakan Taiwan sudah berfungsi sebagai negara merdeka dan tidak perlu membuat sebarang pengisytiharan rasmi.
Menghadapi ancaman dari China, pentadbiran Tsai telah mengguna pakai strategi untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan Taiwan dan bekerjasama dengan negara-negara yang berfikiran sama untuk membentuk pencegahan kolektif di rantau itu.
Lai telah mengulangi sejak kemenangannya pada Januari bahawa pentadbirannya akan terus mengukuhkan asas yang telah dibina oleh Tsai, tidak hanya untuk menjaga status quo, tetapi juga membolehkan Taiwan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi global dan ke arah mengekalkan kestabilan geopolitik.
-- BERNAMA
#Lai Ching-te #Presiden Taiwan #Parti Progresif Demokratik #angkat sumpah
;