Lahir empat hari lepas, bayi kembar maut angkara serangan rejim Zionis
Agensi
Ogos 14, 2024 17:18 MYT
Ogos 14, 2024 17:18 MYT
GAZA: Empat hari lepas, hidup Mohammed Abu al-Qumsan dipenuhi keceriaan, dikurniakan sepasang anak kembar, berbeza jantina juga.
Anak lelaki diberikan nama Asser manakala Ayssel pula nama diberi buat anak perempuan, kedua-duanya lahir pada 10 Ogos lepas.
Di sebalik kesukaran hidup di Gaza, kehadiran dua cahaya mata itu membawa sinar buat Abu al-Qumsan.
Namun, kegembiraan itu hanya bertahan empat hari apabila ibu mertua, isteri dan anak kembarnya maut dalam serangan rejim Zionis.
Ketika serangan, dia tidak berada di rumah kerana sibuk dalam urusan mendapatkan sijil kelahiran buat anaknya.
Sijil kelahiran sudah berada di tangan namun ketika mahu pulang, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada rakannya.
Rakannya memberitahu rumah mereka di Deir al-Balah telah dibom.
“Saya ketika itu mahu mengambil sijil kelahiran untuk anak-anak, isteri saya bersalin semalam, lusa (anak kembarnya lahir pada 10 Ogos mengikut sijil lahir).
“Saya pergi ambil sijil kelahiran. Saya mendapat dua bayi, kembar. Kemudian, saya mendapat panggilan memberitahu bahawa rumah yang anda diami telah dibom.
“Jiran-jiran yang beritahu saya keadaan itu. Isteri saya telah tiada, dua bayi saya dan ibu mertua saya, semua telah pergi,” katanya.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, seramai 115 bayi telah dilahirkan dan kemudian dibunuh semasa perang.
Menurut agensi berita AP, keluarga itu telah mengikuti arahan untuk mengosongkan Kota Gaza pada ketika Israel menyerang Gaza, mencari perlindungan di kawasan itu, seperti yang diarahkan tentera Israel.
Namun, mereka tetap diserang di lokasi yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan buat mereka.
Menurut laporan BBC, pihaknya telah meminta komen tentera Israel mengenai insiden itu dan masih menunggu jawapan daripada rejim Zionis.
Dalam serangan sebelum ini, Israel kerapa kali berkata ia cuba mengelak mencederakan orang awam dan menyalahkan kematian mereka dan mengaitkannya dengan Hamas.
Mereka mendakwa, Hamas beroperasi di kawasan perumahan yang padat, termasuk menggunakan bangunan awam sebagai tempat perlindungan.
Begitupun, masih tiada bukti konkrit yang dapat menjelaskan dakwaan rejim tersebut.