Lahir di penjara, gadis ini kini bakal ke Harvard
Agensi
Mei 29, 2023 09:40 MYT
Mei 29, 2023 09:40 MYT
SEORANG gadis berusia 18 tahun yang dilahirkan di penjara, bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard selepas menamatkan pengajian sekolah tinggi dengan cemerlang.
Sky Castner, yang berasal dari Texas, tidak menjadikan latar belakangnya sebagai halangan dan berazam mengubah masa depannya menjadi lebih baik.
Perjalanan hidup Castner bermula di Penjara Daerah Galveston, di mana dia dilahirkan semasa ibunya menjalani hukuman.
Dia kemudiannya diambil dan dibesarkan oleh bapanya.
Lulus cemerlang dari Sekolah Tinggi Conroe, yang terletak di utara Houston, pencapaian akademik Castner telah membolehkannya mendapat tempat di Harvard, di mana dia bakal melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.
Menurut Houston Chronicle, Castner hanya bercakap dengan ibu kandungnya sekali sahaja, ketika dia berumur 14 tahun.
Satu catatan yang dikongsi di halaman Facebook sekolah juga mendedahkan bahawa bapa Castner, yang membesarkannya seorang diri, adalah pesakit bipolar disorder (gangguan bipolar).