Lagu baharu Perdana Menteri Thailand dikecam netizen
Agensi
Februari 20, 2018 11:07 MYT
Februari 20, 2018 11:07 MYT
Tindakan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha yang melancarkan lagu terbaharunya menerima respons negatif daripada netizen.
Lagu ciptaan Prayuth yang bertajuk Diamond Heart itu dimuat naik melalui YouTube dan telah mendapat lebih 40,000 'dislike' berbanding bilangan 'like' yang jauh lebih rendah.
Lirik lagu itu ditulis oleh Prayuth sendiri dan dinyanyikan oleh seorang pegawai tentera Thailand yang menceritakan tentang janji dalam menghadapi segala rintangan bersama-sama seorang wanita.
“Jadikan diri anda berlian yang sebenar, jangan menyerah.
Seiringan bersama hari ini, maka rintangan tidak bermakna.
Apa yang dipelajari adalah sesuatu yang baru setiap hari.
Kita akan bina impian hati bersama agar terus bertahan."
Demikian antara bait-bait kata yang dituliskan dalam lagu nukilan Prayuth itu.
Lagu itu bagaimanapun menerima kritikan netizen yang menyindir makna politik di dalam lagu itu, malah ada yang memerli dengan menyatakan itu adalah 'hadiah' daripada Prayuth untuk rakyatnya sempena sambutan Hari Valentine.
“Orang yang hatinya seperti berlian tidak akan berbohong setiap hari dan merebut kuasa dari perempuan.”
Demikian komen yang diberikan seorang pengguna Twitter merujuk kepada tindakan rampasan kuasa yang pernah dilakukan Prayuth kepada bekas perdana menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, beberapa waktu lalu.
"Kami memerlukan pilihan raya baharu, bukan muzik pop baharu," kata satu respons lain.
Prayuth sebelum ini pernah mengeluarkan lagu bertajuk Returning Happiness to The People pada tahun 2014.
#Diamond Heart
#lagu baru
#muzik
#Prayuth Chan-ocha
#Returning Happiness to The People
#Thailand
#Twitter
#Yingluck Shinawatra
#YouTube