Lagi remaja Palestin dibunuh tentera Israel

Astro Awani
Januari 3, 2023 05:45 MYT
Kematian remaja berkenaan diratapi warga Palestin dengan orang ramai berduyun-duyun mengiringi jenazahnya semasa upacara pengebumian. - Foto AP
BAITULAHAM : Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, tentera Israel menembak mati seorang remaja di Baitulaham pada selasa.
Mangsa dikenali sebagai Adam Essam Shaker Ayyad, berusia 15 tahun dan meninggal dunia selepas ditembak di bahagian dada oleh tentera Israel semasa menceroboh Baitulaham pada waktu Subuh.
Kematiannya diratapi warga Palestin dengan orang ramai berduyun-duyun mengiringi jenazahnya semasa upacara pengebumian.
Adam Essam adalah warga Palestin ketiga dibunuh oleh tentera Israel dekat Tebing Barat sejak awal tahun ini.
Tentera Israel mendakwa, anggota polis melepaskan tembakan ke arah individu yang melemparkan bom petrol terlebih dahulu.
Batu dan bom petrol itu dilemparkan ke arah anggota polis sempadan semasa operasi ke atas kem pelarian Dheisheh di bandar Tebing Barat itu.
Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), pertempuran meletus apabila tentera Israel menceroboh Dheisheh dekat selatan Tebing Barat yang diduduki untuk memeriksa kediaman di situ.
Data yang dikumpul AFP mendedahkan, lebih 150 warga Palestin dan 26 warga Israel dibunuh pada tahun lalu di seluruh Israel serta Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis yang diduduki Israel.
Pada Disember tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 2022 adalah tahun paling maut di Tebing Barat yang direkodkan sejak 2005.
Pengumuman rasmi mengenai kabinet Israel diketuai Benjamin Netanyahu pada minggu lalu, mencetuskan kebimbangan peningkatan ketenteraan di wilayah Palestin yang diduduki Israel sejak perang enam hari pada 1967.
Dua daripada rakan pakatan ekstrim kanan Netanyahu mengambil alih kuasa kritikal berkaitan Tebing Barat.
Bezalel Smotrich memegang portfolio untuk dasar penempatan Israel di wilayah itu, manakala Itamar Ben-Gvir dilantik sebagai Menteri Keselamatan Negara.
Kedua-dua individu itu mempunyai sejarah pernah membuat kenyataan menghasut mengenai rakyat Palestin.
#remaja #Tebing Barat #ditembak #tentera Israel
;