Lagi penembak gila di AS

Astro Awani
Januari 11, 2013 06:32 MYT
Amerika Syarikat terus dihantui kes penembak gila. Terbaru, seorang pelajar berusia 16 tahun yang bersenjatakan pistol bertindak menembak rakannya sendiri di dalam kelas sebelum menyerah diri.
Mangsa dilaporkan parah, manakala penjenayah kini ditahan polis.
Kejadian berlaku di Sekolah Tinggi Taft Union, California.
Pelajar tersebut melepaskan tembakan kedua ke arah guru tetapi tersasar.
Guru bersama-sama 10 pelajar sekolah berkenaan cuba memujuknya supaya menyerah diri.
Siasatan awal mendapati pelajar itu membawa lebih 20 peluru di dalam poketnya.
Polis bandar Taft berkata, kejadian tembakan itu berlaku pada 9 pagi waktu tempatan.
Taft merupakan pengeluar minyak dan gas yang cuma dihuni 10 ribu penduduk.
Manakala Sekolah Tinggi Taft menempatkan 900 pelajar bermula gred 9 sehingga 12.
Serangan berlaku kurang sebulan selepas seorang lelaki bersenjata mengamuk lalu membunuh 20 kanak-kanak dan enam wanita di Sandy Hook Elementary School di Newtown, Connecticut.
Insiden mengejutkan itu segera membuka mata sekaligus menjadikan presiden Barack Obama menjanjikan usaha terbaru dalam mengekang keganasan melalu serangan sedemikian.
Naib presiden Joe Biden diberi tanggungjawab untuk insiatif itu.
Kata Biden, beliau akan membentangan cadangan dasar baru mengenainya kepada presiden minggu depan.
#California #Penembak #sekolah tinggi taft union