Lagi pasangan bercumbuan dihukum sebat di Aceh, mungkin kali akhir di khalayak ramai
Agensi
April 20, 2018 15:32 MYT
April 20, 2018 15:32 MYT
Wilayah Aceh di Indonesia pada Jumaat menjalankan hukuman sebat kepada beberapa pasangan bukan mahram kerana menunjukkan aksi intim di tempat awam.
Selain itu, agensi berita AP melaporkan, dua wanita yang terlibat aktiviti pelacuran juga dihukum sebat di khalayak ramai.
Hukuman tersebut dipercayai yang terakhir dilaksanakan di hadapan orang ramai di Aceh selepas gabenor wilayah itu pada awal bulan ini mengumumkan bahawa hukuman seumpamanya akan dilakukan di ruang tertutup.
Sebelum ini, hukuman sebat yang dijalankan ke atas dua lelaki kerana mengamalkan hubungan homoseksual, telah mencetus perdebatan global tentang pelaksanaan undang-undang syariah yang ketat di wilayah itu.
Dua wanita yang dituduh terlibat dalam pelacuran itu telah disebat 11 kali. Salah seorang daripada mereka, mengangkat tangan selepas sebatan kelima, bagi memberi isyarat bahawa kesakitannya terlalu berat untuk ditanggung. Dia kemudiannya diberi minum sebelum sebatan seterusnya dilakukan.
Sementara itu, enam orang muda yang ditahan kerana aksi intim di tempat awam disebat antara 11 hingga 22 kali. Polis syariah mahu mendakwa mereka atas kesalahan yang lebih besar, namun tiada saksi.
Segolongan penduduk Aceh membantah keputusan untuk hukuman seumpamanya dilaksanakan di ruang tertutup. Kira-kira 1,000 orang menjalankan protes di luar pejabat Datuk Bandar Banda Aceh pada Khamis.
Menurut mereka, jika hukuman sebatan itu dibuat di tempat tertutup, kesan pengajarannya kepada umum kurang dirasai.