Lagi kejadian tanah runtuh di Indonesia, dua terkorban
Bernama
Mac 13, 2023 17:09 MYT
Mac 13, 2023 17:09 MYT
JAKARTA: Satu lagi kejadian tanah runtuh dicetuskan oleh hujan lebat di wilayah Lampung selatan Pulau Sumatera mengorbankan dua nyawa setakat ini.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang hilang.
Agensi pengurusan bencana Lampung, anggota polis dan tentera dihantar ke kawasan itu selepas menerima laporan mengenai beberapa orang hilang pada malam Jumaat.
Di Kabupaten Natuna, Kepulauan Riau, anggota penyelamat telah menemukan lebih banyak mayat akibat tanah runtuh yang berlaku pada 6 Mac lalu, menjadikan jumlah korban kepada 46 orang.
Pasukan kecemasan dan tentera bersama tujuh jengkaut menggali di kawasan terbabit untuk mengesan sembilan lagi mangsa, kata jurucakap BNPB Abdul Muhari.
Tanah runtuh telah memusnahkan kampung Serasan, memaksa lebih 2,240 penduduk mencari perlindungan di tempat lain.
Pulau Serasan dengan populasi 8,000 penduduk terletak 150 kilometer dari selatan pulau utama Kabupaten Natuna.
-- BERNAMA