Lagi bot berdaftar di Malaysia ditahan di Selat Melaka, Indonesia

Bernama
Ogos 20, 2023 21:43 MYT
Sebuah bot nelayan yang berdaftar Malaysia disita kerana menangkap ikan secara haram di perairan zon ekonomi eksklusif (ZEE) negara itu di Selat Melaka. - BERNAMA/Foto Indonesia's Ministry of Maritime Affairs and Fisheries
JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia telah menyita sebuah bot nelayan yang berdaftar Malaysia kerana menangkap ikan secara haram di perairan zon ekonomi eksklusif (ZEE) negara itu di Selat Melaka.
Lima warga Myanmar ditahan kerana ketiadaan permit yang diperlukan dan menggunakan peralatan penangkapan ikan yang dilarang, khususnya peralatan pukat tunda, dalam kejadian kedua seumpamanya sejak Khamis.
Ketua Pengarah Sumber Marin dan Perikanan Laksamana Muda Adin Nurawaluddin berkata, bot itu ditahan pada koordinat 03?42.993'N-100?07.71571'E pada Sabtu pukul 8.05 pagi waktu tempatan.
"Pasukan penguatkuasaan akan memindahkan kes yang melibatkan kru bot dan bukti ke Pejabat Pemantauan Sumber Marin dan Perikanan Belawan di Medan, Sumatera Utara," menurutnya dalam satu kenyataan.
Tindakan melanggar undang-undang maritim dan perikanan Indonesia boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga 2 bilion rupiah atau RM607,340.
-- BERNAMA
#Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia #bot daftar di Malaysia #Selat Melaka #Indonesia #sita bot
;