Labah-labah bersarang dalam telinga
Sinar Harian
Oktober 27, 2023 10:00 MYT
Oktober 27, 2023 10:00 MYT
TAIPEI: Seorang warga emas di Taiwan yang pergi mendapatkan pemeriksaan di klinik selepas 'bunyi tidak normal' dalam telinga kirinya, terkejut apabila doktor menemui labah-labah dalam lubang telinganya, lapor NBC News.
Sebelum ini, wanita warga emas berumur 64 tahun tidak didedahkan identitinya mengadu bahawa dia mengalami masalah tidur selama empat hari selepas bunyi bendasing tidak berhenti dalam organ perdengaran itu.
Selain itu, dia merasakan terdapat sesuatu bergerak dalam telinga kirinya sehingga menimbulkan kecurigaan kepadanya.
Dia segera pergi mengunjungi klinik telinga, hidung dan tekak di mana doktor memeriksanya berjaya menemui seekor labah-labah bersaiz mancis api.
Doktor kemudian menggunakan tiub untuk menyedut serangga serta kulitnya keluar dan selepas itu gejala bising dalam telinga wanita itu telah hilang.
Warga emas itu bernasib baik selepas doktor memberitahu gegendang telinga tidak mengalami luka atau kecederaan sepanjang labah-labah 'sesat' memasuki telinga kirinya itu.
Seorang Profesor Biologi di Universiti Ohio, Jery Rovner menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan labah-labah cuba bersarang dalam telinga wanita itu adalah bagi mencari tempat perlindungan yang selamat. - Agensi/Sinar Harian