La Pascualita, kisah anak diawet jadi patung pengantin hanya legenda urban?
Madiha Abdullah
Mei 14, 2015 13:20 MYT
Mei 14, 2015 13:20 MYT
SEBUAH butik pakaian pengantin di Chihuahua, Mexico menjadi sebutan masyarakat bukan hanya kerana kecantikan pakaian-pakaian yang dijual, tetapi kerana salah satu patung yang dipamerkan didakwa sebenarnya tubuh manusia!
Patung pengantin perempuan yang menjadi hiasan tingkap butik tersebut dikatakan mayat anak kepada pemilik butik.
Melalui cerita masyarakat setempat, dia meninggal dunia pada hari perkahwinannya kerana disengat labah-labah black widow.
Menurut cerita itu lagi, si ibu lantas bertindak mengawet mayat si anak, dan memakaikannya pakaian pengantin paling cantik yang terdapat di butik itu.
Manusia patung itu terkenal dengan nama La Pascualita.
Jika dilihat dengan teliti, patung ini memiliki ciri-ciri manusia, seperti kedutan di wajah yang ketara, di samping bentuk kuku dan garis-garis di tangannya yang sangat jelas.
Teori manusia patung ini diperkuatkan lagi dengan cerita pekerja butik yang mendakwa hanya orang-orang tertentu sahaja dibenarkan untuk menukar pakaian patung berkenaan, dan ia akan dilakukan di bilik tertutup yang khas.