KWSP digesa tingkat pelaburan dalam negara kepada 70 peratus - PM
Umavathi Ramayah
Mei 8, 2023 12:27 MYT
Mei 8, 2023 12:27 MYT
SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa untuk meningkatkan pelaburan dalam negara kepada 70 peratus tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu adalah seiring dengan matlamatnya yang bertujuan untuk membantu pencarumnya.
"Pelaburan baharu dapat hasil yang baik maka kita dapat kembalikan pulangan kepada rakyat. Umpamanya saya lihat KWSP pelaburannya tinggi, 66 peratus dalam negara. Cuma saya mahu tahun 2023 ini (KWSP) cari jalan supaya pelaburan dalam negari mencecah sekurang-kurang 70 peratus.
"Jadi saya menekan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan agar meningkat kepada 70 peratus.
"Ia untuk keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan sebahagian rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP, di sini, pada Isnin.
Menurut Anwar, syarikat-syarikat seperti KWSP dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) perlu mencari hala tuju baharu bagi memberi ruang kepada anak-anak muda meneroka industri seperti startup (syarikat pemula) yang memerlukan kepakaran mereka.
"Yang membezakan dalam pengurusan saya ini, saya tidak campur dalam urusan pelaburan seperti mana berlaku dalam sejarah KWSP dulu.
"Ini penting kerana panel pelaburan harus kekal sebagai panel yang bebas dan profesional yang mengambil keputusan berdasarkan kepentingan KWSP dan pencarum," jelasnya.