Kuwait dijangka tidak mampu bayar gaji penjawat awam selepas November

Fareez Azman
Ogos 20, 2020 17:26 MYT
Kecairan kewangan Kuwait akan bertambah parah jika harga minyak dunia terus mencatatkan penurunan.
Negara teluk yang kaya dengan hasil minyaknya, Kuwait bakal menghadapi kesukaran membayar gaji penjawat awam selepas November depan.
Pengumuman berita itu dibuat Menteri Kewangannya, Barak Al-Sheetan ketika sidang Parlimen negara itu pada Rabu.
Menurut laporan Bloomberg, Al-Sheetan mengesahkan negara timur tengah itu mengeluarkan Dana Simpanan Am sekitar 1.7 billion dinar setiap bulan.
Malah, tegas beliau, kecairan kewangan negara itu akan bertambah parah jika harga minyak dunia terus mencatatkan penurunan .
Selain itu, kedudukan kewangan negara itu juga akan bertambah kritikal sekiranya Kuwait tidak dapat meminjam dari pasaran tempatan atau antarabangsa.
Menteri Kewangan Kuwait itu menambah, bajet defisit negara itu juga meningkat kepada 69 peratus bersamaan 5.64 billion dinar pada fiskal tahun lalu.
Bagi fiskal tahun ini, kerajaan Kuwait dianggarkan telah berbelanja lebih 14 billion dinar yang berakhir pada 31 Mac lalu dengan upah dan subsidi menyumbang 76 peratus daripada jumlah perbelanjaan negara.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan keperluan kewangan kerajaan untuk berkembang lebih cepat susulan kedudukan kecairan kewangan negara itu semakin lemah.
Ekonomi Kuwait antara yang paling teruk terjejas selepas pandemik COVID-19 melanda dunia sejak awal tahun ini ditambah dengan kejatuhan harga minyak secara mendadak.
#bajet #Belanjawan #COVID-19 #harga minyak #IMF #kerajaan #koronavirus #Kuwait #menteri #pandemik #Timur Tengah
;