Kutuk pendatang, Trump kehilangan ruang siaran Miss Universe di Mexico

Shafizan Johari
Jun 26, 2015 19:56 MYT
Semasa berucap, bintang -The Apprentice- itu berkata AS dijadikan sebagai -tempat- buangan bagi -orang bermasalah-.
Rangkaian television utama Mexico memutuskan untuk menghentikan penyiaran pertandingan ratu cantik 'Miss Universe' selepas calon bakal presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertindak mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai menghina golongan pendatang Mexico secara terbuka.
Pembatalan siaran ini termasuk siaran langsung “Miss USA 2015” yang dijadual pada 12 Jun ini.
Dalam kenyataannya, rangkaian television itu juga memaklumkan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Miss Universe Organisation dan semua syarikat yang melibatkan Trump Organisation.
Kritikan itu dinyatakan taikun hartanah itu semasa mengumumkan tawarannya untuk menjadi calon Republikan dalam Pilihan Raya Presiden 2016 dua minggu lalu.
Semasa berucap, bintang “The Apprentice” itu berkata AS dijadikan sebagai “tempat” buangan bagi “orang bermasalah”.
“Apabila Mexico “menghantar” orangnya, ia bukan menghantar orang terbaik, ia menghantar orang yang mempunyai banyak masalah yang menyebabkan banyak masalah kepada kita.”
“Mereka membawa masuk dadah, penjenayah dan perogol.”
Sebagai respons, Univision seolah-oleh mengkritik cara kerja Trump.
“Di Univision, kami terus melihat kepada etika kerja, hubungan kekeluargaan dan nilai keagamaan, serta paling penting peranan penting yang dimainkan pendatang Mexico dan warga Mexico-Amerika yang sudah dan akan terus menyumbang keapda masa depan negara.”
Begitupun, keputusan Univision itu dipercayai dibuat selepas menerima tekanan daripada kerajaan Mexico.
Implikasi Politik
Kenyataan Trump itu memberi kesan langsung bukan sahaja kepada 5.9 juta pendatang Mexico di AS malah keseluruhan populasi Latin di AS, yang menjadi 14 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi negara berkenaan.
Menurut kajian yang disiarkan di portal berita Mic.com, pada kebiasaanya pengundi warga Latin lebih cenderung menyokong parti Demokrat.
Kecenderungan ini berterusan walaupun dua senator Republikan berketurunan Latin (Senator Texas Ted Crux dan Senator Florida Marco Rubio) menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden AS.
Malah kenyataan Trump ini mungkin menyukarkan lagi usaha Republikan kembali menghantar wakil ke White House.
#Donald Trump #Mexico #Miss Universe #Miss USA 2015 #The Apprentice
;