Kurikulum lebih fleksibel tangani masalah keciciran pendidikan akibat pandemik - Nadiem Makarim
Madiha Abdullah
Februari 22, 2022 15:32 MYT
Februari 22, 2022 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika varian Omicron mengganas di Asia Tenggara, pelajar di rantau ini terpaksa berjuang untuk mengelak daripada terus keciciran dalam pendidikan, selepas dua tahun pembelajaran terganggu.
Pastinya setiap negara mempunyai strategi dan cara masing-masing untuk menangani situasi ini dan negara jiran, Indonesia, percaya satu set kurikulum sahaja tidak mampu memenuhi kehendak perkembangan ilmu pengetahuan.
Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim memaklumkan, pembelajaran tidak hanya bergantung kepada isi kandungan kurikulum tetapi juga sejauh mana seorang pelajar itu mampu menyerap segala maklumat yang diberi.
"Kami mempunyai jurang yang besar dalam kualiti pendidikan antara wilayah, dan situasi ini semakin buruk semasa dan selepas pandemik.
"Kami percaya salah satu punca asas ialah kerana kami tidak membenarkan sekolah mempunyai autonomi yang mencukupi, selain banyak sebab lain seperti kualiti guru, tetapi kami tidak percaya bahawa kurikulum ketat ditetapkan mampu menampung perbezaan dari segi geologi, latar belakang budaya, kebolehan peribadi dan aspirasi pelajar," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI, pada Isnin.
Tambah beliau, kurikulum yang bebas dengan sukatan pelajaran berasaskan projek yang flesibel akan menambah minat serta memberi kemudahan kepada pelajar mengejar kembali pendidikan mereka yang tercicir.
"Lebih banyak kandungan tidak bermakna pembelajaran lebih baik, kandungan yang sedikit tetapi pembelajaran lebih mendalam jauh lebih berkesan.
"Itulah langkah pertama kurikulum yang bebas, langkah seterusnya adalah menjadikannya lebih fleksibel. Ini memberi kebebasan kepada pelajar sekolah menengah untuk memilih subjek tertentu, guru dibenarkan untuk naik, turun, cepat atau lambat bergantung kepada kesediaan pelajar.
"Masalah besar selama ini ialah semua orang pada tahap yang sama pada masa yang sama, ramai pelajar tertinggal kerana kelas perlu diteruskan, pelajar hilang motivasi.
"Kurikulum ini membenarkan guru mempercepatkan atau melambatkan bergantung pada kelas kohort," ujarnya.
Indonesia baru-baru ini melancarkan kurikulum baharu berorietasikan fleksibiliti, yang bertujuan untuk menangani masalah keciciran pendidikan akibat pandemik COVID-19.