Kura-kura diraja 'berkuasa menyembuh' mati pada usia 344 tahun
Agensi
Oktober 5, 2019 07:50 MYT
Oktober 5, 2019 07:50 MYT
BAGI pencinta haiwan, ini mungkin berita sedih dan mengejutkan.
Seekor kura-kura milik keluarga diraja dilaporkan mati pada usia 344 tahun, di istana tradisi Ogbomosho, barat daya Nigeria.
Menurut media antarabangsa, kura-kura yang diberi nama Alagba yang bermaksud 'tua' itu, jatuh sakit baru-baru ini sebelum disahkan mati pada Khamis.
Reptilia tertua di Afrika itu dilaporkan mempunyai kuasa penyembuhan dan telah menarik ramai pengunjung.
Kura-kura betina itu dipercayai dibawa ke istana oleh pemerintah tradisi ketiga kerajaan, Isan Okumoyede, yang memerintah dari tahun 1770 hingga 1797.
Menurut pembantu peribadi Raja Jimoh Oyewunmi, Toyin Ajamu, Alagba telah tinggal di istana tersebut selama berkurun-kurun.
Alagba mula menjadi figura dan popular selepas menerima “layanan istimewa" daripada kakitangan istana.
“Staf yang menjaga Alagba menyediakan makanan, sokongan kesihatan dan keperluan logistik lain untuk memastikan ia mendapat layanan terbaik.
“Pada setiap hari, Alagba menerima kunjungan pelancong yang datang melawatnya dari pelbagai lapisan masyarakat,” kata Toyin seperti dilapor Daily Post.
Bagaimanapun, di sebalik berita sedih pemergian reptilia itu, beberapa pihak meragui usia haiwan itu.
Penjaga reptilia di Zoo Bristol, Tim Skelton, sangsi Alagba mampu hidup begitu lama.
“100 tahun adalah usia yang terbaik (untuk kura-kura).
“Kura-kura gergasi mungkin boleh hidup sehingga usia 200 tahun, tetapi itu sangat jarang berlaku,” katanya.
Skelton menambah, berdasarkan gambar, Alagba bukan kura-kura gergasi sebaliknya ia dikategorikan sebagai kura-kura spur-thighed Afrika.
Namun, jika benar Alagba ditemui pada era pemerintahan, Isan Okumoyede, usia haiwan itu secara logik sudah mencecah lebih 200 tahun.
Untuk rekod, selain Alagba, kura-kura gergasi yang terkenal adalah bernama Adwaita.
Reptilia itu telah hidup merentasi tiga abad dan dilahirkan pada 1750 sebelum disahkan mati pada 2006 ketika berusia 256 tahun.
#344 tahun
#Adwaita
#Alagba
#Isan Okumoyede
#Istana
#keluarga diraja
#kuasa penyembuhan
#kura-kura
#mati
#Nigeria
#Ogbomosho
#pelancong
#pencinta haiwan
#tradisi