Kuota tambahan 2,000 pelajar perubatan langkah penting - Presiden Korea Selatan
Bernama
Februari 27, 2024 21:00 MYT
Februari 27, 2024 21:00 MYT
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa berkata rancangan kerajaan untuk menaikkan kuota bagi sekolah perubatan sebanyak 2,000 merupakan "langkah minimum yang diperlukan" bertujuan menangani kekurangan doktor.
"Sekiranya rakyat tidak dapat menerima rawatan tepat pada masanya dan sewajarnya, kerajaan tidak menunaikan kewajipan perlembagaannya.
"Tambahan bagi kuota sekolah perubatan sebanyak 2,000 adalah langkah minimum yang diperlukan untuk memenuhi perlembagaan.
"Negara kita pada masa ini menghadapi masalah kekurangan doktor yang ketara dan tidak lama lagi keadaan akan menjadi lebih serius," Agensi Berita Yonhap memetik Yoon sebagai berkata semasa mesyuarat mengenai kerjasama antara kerajaan pusat dan tempatan.
Mogok kini memasuki hari kelapan dengan kira-kira 9,000 doktor residen dan doktor pelatih tidak melapor diri untuk bertugas setakat Isnin.
Yoon menambah bahawa lebih ramai doktor diperlukan untuk bekerja dalam bidang perubatan penting seperti pembedahan berisiko tinggi, pediatrik, obstetrik dan perubatan kecemasan serta di kawasan luar bandar.
"Ini tidak boleh dan tidak sepatutnya menjadi subjek untuk rundingan atau kompromi.
"Melakukan tindakan kolektif dengan mengancam kesihatan dan nyawa rakyat adalah tidak wajar walaupun atas sebarang alasan.
"Walaupun kami menaikkan kuota sekolah perubatan sekarang, bilangan doktor hanya akan mula meningkat 10 tahun kemudian," kata Yoon.
Kumpulan doktor membantah rancangan itu dengan mendakwa peningkatan kuota bagi sekolah perubatan hanya akan menurunkan kualiti pendidikan tanpa menangani isu asas seperti pampasan rendah dan risiko penyelewengan perubatan yang tinggi.
-- BERNAMA