Kumpulan pertama rakyat Thai selamat tiba dari Ukraine
Bernama
Mac 2, 2022 04:31 MYT
Mac 2, 2022 04:31 MYT
BANGKOK: Seramai 96 orang rakyat Thai yang dipindahkan dari Ukraine yang dilanda konflik tiba di Thailand pada Rabu.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar, Chaturon Chaiyakam berkata kumpulan pertama rakyat Thai seramai 38 orang itu berlepas dari Bucharest, Romania dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 6.25 pagi (waktu tempatan) pada Rabu.
Beliau berkata 58 lagi warga Thailand berlepas dari Warsaw, Poland dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 12.05 tengah hari (waktu tempatan).
Pengurus Besar Lapangan Terbang Thailand untuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata proses pemindahan itu diselaraskan oleh Pusat Operasi Kecemasan COVID-19 lapangan terbang dengan syarikat penerbangan, Kementerian Luar dan bahagian kawalan penyakit berjangkit antarabangsa, Biro Imigresen dan Pejabat Kastam bagi memastikan kelancarannya.
Semua yang dipindahkan mesti mematuhi langkah pencegahan COVID-19, katanya.
"Mereka dijadualkan menjalani kuarantin di pangkalan Tentera Laut Diraja Thai Sattahip," tambahnya.
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menggesa Kementerian Luar dan agensi berkaitan mempercepatkan pemindahan warga Thai dari negara yang dilanda perang itu.
-- BERNAMA