Kumpulan pertama durian segar Malaysia masuk ke China penghujung Ogos

Bernama
Ogos 12, 2024 16:13 MYT
Niqman Rafaee berkata import durian oleh China pada tahun lepas mencecah US$7.8 bilion (kira-kira RM34.7 bilion), dengan pembekal utama adalah Thailand dan Filipina, manakala Malaysia berada di tempat ketiga. - Gambar hiasan/Bernama
CHANGZHI (China): Susulan kelulusan daripada Kerajaan China, penghantaran sulung durian segar Malaysia beserta kulitnya dijangka memasuki pasaran China menjelang akhir bulan ini.
Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Beijing, Niqman Rafaee M. Sahar berkata, kelulusan telah diberikan pada Jun dan penghantaran itu kini sedang menjalani semua protokol dan proses yang diperlukan untuk memastikan ia boleh memasuki pasaran.
Semasa proses ini, beliau berkata beberapa syarikat telah mengemukakan dokumen mereka kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan akan turut melakukan penyelarasan dengan pihak China.
Berkongsi perkembangan ini dengan Bernama di luar Seminar Promosi Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-China (Shanxi) yang dianjurkan bersempena Minggu ASEAN-China 2024 di sini pada Isnin, Niqman berkata sebaik proses itu selesai, kumpulan pertama penghantaran durian segar dijangka tiba menjelang akhir bulan ini.
Beliau berkata import durian oleh China pada tahun lepas mencecah US$7.8 bilion (kira-kira RM34.7 bilion), dengan pembekal utama adalah Thailand dan Filipina, manakala Malaysia berada di tempat ketiga.
Malaysia telah menerima kelulusan untuk mengeksport lapan jenis buah segar ke China, termasuk kelapa, tembikai, dan manggis, dengan durian menjadi yang paling mendapat permintaan.
Sehubungan itu, beliau optimis bahawa Malaysia akan mengembangkan eksport durian ke China, merangkumi kedua-dua jenis segar dan beku.
Seminar promosi sehari bertemakan "Peluang Baharu, Momentum Baharu, Kerjasama Baharu, dan Pembangunan Baharu", menjadi platform bagi Wilayah Shanxi dan negara-negara ASEAN untuk meneroka peluang kerjasama masa depan berdasarkan kekuatan masing-masing.
Mengenai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), yang merupakan satu daripada acara utama seminar ini, Niqman berkata kini 150 syarikat China telah mendaftar sebagai pempamer dan pembeli di pameran halal global yang akan diadakan dari 17 hingga 20 September.
"Kami akan mengatur beberapa mesyuarat perniagaan untuk pembeli China ini," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan tahun ini bagi hubungan dua hala Malaysia-China, dengan menyatakan bahawa MATRADE komited untuk mengukuhkan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.
Selain menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat China dalam MIHAS, satu lagi acara utama ialah Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) yang akan diadakan dari 17 hingga 19 Disember.
Mengenai potensi dan momentum pertumbuhan perdagangan Malaysia-China, beliau berkata perdagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 8.9 peratus pada separuh pertama tahun ini. Walaupun produk perubatan kekal sebagai eksport utama, segmen dan produk lain juga sedang memanfaatkan peluang besar dalam pasaran China.
"Kita dapat melihat bahawa banyak syarikat China sebenarnya mengambil kesempatan ini, untuk meneroka peluang baharu, dan juga melawat Malaysia untuk melihat sendiri bidang atau kerjasama yang boleh mereka lakukan," katanya.
Terdahulu, pada seminar promosi itu, Niqman ketika menjemput perniagaan China telah mengetengahkan 10 sebab untuk berdagang dengan Malaysia, termasuk pelbagai produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, pematuhan kepada standard antarabangsa dan persekitaran perniagaan yang mesra.
"Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia mempunyai rekod prestasi yang cemerlang, dengan dasar kerajaan yang mesra perniagaan dan dengan peraturan perdagangan yang telus dan adil," katanya.
Tarikan lain untuk pelabur asing termasuk pembekal yang boleh dipercayai, kemudahan sokongan perdagangan yang maju, dan budaya perniagaan profesional.
Sementara itu, Shi Zhongjun, Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China (ACC) dalam ucaptamanya, menekankan potensi peluang perniagaan dan kerjasama antara Shanxi dan negara-negara ASEAN dalam bidang tertentu.
Ini termasuk transformasi ekonomi hijau, inovasi dan pembangunan ekonomi digital serta kerjasama antarabangsa dalam kenderaan tenaga baharu.
"Wilayah Shanxi mempunyai lokasi geografi yang unik, sumber semula jadi yang melimpah-ruah, serta kelebihan tenaga dan perindustrian yang maju.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai wilayah perintis untuk pembaharuan menyeluruh dalam revolusi tenaga, Shanxi telah mencapai kemajuan yang ketara dalam penggunaan tenaga bersih dan rendah karbon, inovasi teknologi tenaga, dan kerjasama tenaga dengan negara lain," katanya.
-- BERNAMA
#Hubungan dua hala #ASEAN #sidang kemuncak #durian