Kumpulan penjenayah bersenjata bunuh juruterbang New Zealand di Papua Tengah

Bernama
Ogos 6, 2024 08:16 MYT
Pembunuhan Glen Malcolm Conning, 50, disahkan oleh Ketua Operasi Damai Cartenz 2024, Brigadier Jeneral Faizal Ramadhani. - Foto Polri
JAKARTA: Seorang juruterbang New Zealand yang bekerja dengan PT Intan Angkasa Air Service telah dijadikan tawanan dan dibunuh oleh kumpulan pemisah di Mimika, wilayah Papua Tengah pada Isnin (5 Ogos), menurut pihak berkuasa.
Pembunuhan Glen Malcolm Conning, 50, disahkan oleh Ketua Operasi Damai Cartenz 2024, Brigadier Jeneral Faizal Ramadhani.
Menurut beliau, insiden itu berlaku pada 10 pagi waktu tempatan ketika helikopter yang dikendalikan oleh Conning mendarat di daerah terpencil Alama.
"Helikopter itu membawa enam penumpang dari Lapangan Terbang Mozes Kilangin Timika ke Alama, termasuk empat pekerja kesihatan, seorang bayi dan seorang kanak-kanak," menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Setibanya di lokasi pendaratan, juruterbang dan penumpang telah diserang oleh Kumpulan Penjenayah Bersenjata (KKB) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Organisasi Papua Merdeka.
Kumpulan itu memaksa semua penumpang keluar dari helikopter dan mengumpulkan mereka di padang berhampiran.
"Juruterbang itu dibunuh di tempat kejadian. Selepas pembunuhan itu, mayat juruterbang diletakkan semula dalam helikopter dan dibakar," kata jurucakap operasi, Pesuruhjaya Bayu Suseno.
Laporan awal menunjukkan penumpang yang merupakan penduduk tempatan tidak cedera dan telah pulang ke rumah masing-masing di daerah itu.
"Kami bekerjasama dengan Angkatan Tentera dan polis Timika untuk mengesan anggota KKB yang bertanggungjawab atas serangan ini," tambahnya.
Operasi Damai Cartenz adalah usaha bersama oleh Angkatan Tentera dan polis untuk memerangi pemberontak pemisah bersenjata di wilayah bergolak Papua, yang berterusan sejak 5 Januari 2018.
-- BERNAMA
#juruterbang New Zealand dibunuh #kumpulan pemisah #Papua Tengah #Glen Malcolm Conning #Organisasi Papua Merdeka