Kumpulan pembebasan bersatu bentuk kerajaan baharu selepas kejatuhan Assad
Astro Awani
Disember 11, 2024 09:50 MYT
Disember 11, 2024 09:50 MYT
DAMSYIK: Selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad, kumpulan pembebasan Syria kini berusaha membentuk kerajaan baharu untuk memulihkan kestabilan negara.
Kejayaan menumbangkan rejim Assad dalam masa 12 hari selepas perang saudara selama 13 tahun mengejutkan dunia, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang kini memantau situasi dengan teliti dalam mesyuarat tertutup.
Di Damsyik, suasana masih meriah menyambut perubahan ini, tetapi cabaran besar menanti.
Kumpulan pembebasan yang terdiri daripada pelbagai pihak, menghadapi tugas berat untuk membentuk kerajaan peralihan, menjamin keamanan, dan membina keyakinan masyarakat antarabangsa dengan komitmen terhadap proses politik yang adil.
Sementara itu, serangan udara Israel di Syria menambah ketegangan di rantau ini.
Manakala Amerika Syarikat (AS) sedang menilai cara untuk berhubung dengan pemimpin kumpulan pembebasan, menunjukkan kepentingan strategik negara tersebut dalam politik antarabangsa.
Dalam pada itu, usaha kumpulan pembebasan menghidupkan semula ekonomi negara dengan membuka bank dan sektor minyak mula dirancang.
Walaupun terdapat harapan untuk masa depan lebih cerah, Syria perlu menangani cabaran besar dalam mencapai perdamaian dan pembangunan semula yang berkekalan.