Kumpulan militan serang kereta api di Pakistan, tawan 35 penumpang
Astro Awani
Mac 11, 2025 07:45 MYT
Mac 11, 2025 07:45 MYT
Saudara-mara penumpang berkumpul untuk mendapatkan maklumat lanjut di kaunter khas yang dibuka di stesen kereta api Quetta, Pakistan. - Foto AP
QUETTA: Militan pemisah menyerang sebuah kereta api di barat daya Pakistan dan menawan 35 penumpang sebagai tebusan.
Manakala, pihak polis tempatan memaklumkan, 350 penumpang lagi dilaporkan selamat.
Kumpulan militan Tentera Pembebasan Baloch (BLA) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
BLA menyatakan bahawa mereka telah meletupkan landasan dan mengambil alih kawalan kereta api dengan pantas.
Kumpulan itu mendakwa menawan 214 tebusan dan mengancam untuk membunuh mereka sekiranya tahanan baloch tidak dibebaskan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, pemandu kereta api terbunuh akibat kecederaan parah, manakala kereta api itu terperangkap di dalam terowong.
Pihak keselamatan melancarkan operasi besar-besaran dengan bantuan helikopter dan pasukan khas untuk menangani insiden itu.
Satu letupan kedengaran berhampiran terowong dan pasukan keselamatan kini sedang berbalas tembakan dengan militan di kawasan pergunungan.
Sumber keselamatan turut memaklumkan bahawa ramai mangsa kehilangan nyawa dalam serangan itu, termasuk 80 anggota tentera yang berada dalam kereta api bersama 425 penumpang lain.
Tambahnya, 104 penumpang telah diselamatkan, 17 yang cedera dibawa ke hospital, manakala 16 militan berjaya dibunuh.
Operasi akan diteruskan sehingga semua pengganas dihapuskan.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam serangan itu dan menyatakan bahawa pasukan keselamatan sedang "menangkis" serangan militan.
Bla merupakan kumpulan pemisah terbesar yang menentang kerajaan Pakistan sejak beberapa dekad lalu, mendakwa kerajaan mengeksploitasi hasil gas dan mineral di Balochistan secara tidak adil.