Kukuhkan aktiviti perdagangan untuk tingkatkan integrasi ekonomi - Setiausaha Agung ASEAN
Bernama
Mac 23, 2023 20:28 MYT
Mac 23, 2023 20:28 MYT
JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menggesa negara-negara anggota untuk mengembangkan dan mengukuhkan aktiviti perdagangan bagi meningkatkan integrasi ekonomi.
Gesaan itu ekoran komitmen menteri ekonomi untuk menggandakan perdagangan intra-ASEAN antara 2016 dan 2025 semasa permukiman di Magelang, Jawa Tengah pada Rabu.
"ASEAN perlu menggandakan usahanya bagi memperkukuh integrasi ekonomi," kata Kao, sambil menambah bahawa ASEAN mesti meneruskan inisiatif berpandangan ke hadapan dan relevan dengan persekitaran ekonomi global abad ke-21.
Menurut Sekretariat ASEAN, Kao juga percaya kini adalah masa yang tepat untuk menaik taraf perjanjian perdagangan, rangka kerja ekonomi digital, dan membangunkan strategi neutral karbon.
Pemukiman itu merupakan mesyuarat pertama menteri-menteri ekonomi tahun ini membincangkan kemajuan dalam membina komuniti ekonomi ASEAN dan bertukar-tukar pandangan mengenai situasi global semasa.
Mesyuarat itu mengakui bahawa rantau ini terus mengekalkan momentum ke arah mencapai pemulihan ekonomi pasca-pandemik yang teguh walaupun menghadapi cabaran serantau dan global.
Pertumbuhan ASEAN pada 2022 diunjurkan pada 5.5 peratus dan 4.7 peratus tahun ini dipacu oleh pemulihan perkhidmatan, terutamanya kembara dan pelancongan, termasuk perdagangan.
Perdagangan barangan dan aliran masuk pelaburan langsung asing pada 2021 masing-masing berjumlah AS$3.4 trilion dan AS$174 bilion (AS$1=RM4.43).
-- BERNAMA