Kuda bawa pedati rebah akibat kekurangan air
Sinar Harian
Ogos 12, 2022 09:15 MYT
Ogos 12, 2022 09:15 MYT
NEW YORK: Seekor kuda yang menarik pedati rebah di Midtown Manhattan, New York pada Rabu akibat kekurangan air.
"Bangun! Bangun! Bangun!" jerit seorang pemandu kereta kuda itu yang kecewa ketika melalui di laluan yang sibuk sekitar jam 5 petang waktu tempatan.
Orang ramai kesal menyaksikan kuda yang rebah itu disebat oleh pemandu berkenaan.
"Macam mana kalau saya pukul awak macam itu?" tanya seorang pejalan kaki yang prihatin seperti dilaporkan oleh akhbar New York Post.
"Berhenti memukulnya," kedengaran seorang wanita lain lagi.
Kuda itu hanya terbaring dan meletakkan kepalanya di atas jalan ketika pemandunya mengeluarkan ia daripada pedati tersebut dengan bantuan seorang pejalan kaki.
Sekumpulan pegawai polis kemudian tiba dan menyiram kuda itu dengan air.
Akhirnya, haiwan berkenaan berdiri dan diberikan suntikan adrenalin selepas lebih sejam ia rebah.
Kuda itu kemudian dibawa ke lokasi lain untuk rawatan lanjut, menurut polis. - Sinar Harian memetik laporan agensi