Kucing milik pelarian terpisah di Greece, bertemu semula di Norway
Nizam Bakeri
Februari 21, 2016 07:13 MYT
Februari 21, 2016 07:13 MYT
SEGALANYA bermula November tahun lalu apabila satu keluarga di Iraq bertekad untuk meninggalkan tanahair yang dikecam serangan militan Daesh.
Seorang ibu dan lima orang anak berhijrah dari Mosul ke Lesbos, Greece.
Mereka membawa harapan dan tidak ketinggalan, seekor kucing kesayangan bernama Kunkush.
Dalam kekalutan bot mendarat, Kunkush hilang dan tidak dapat dikesan.
Sementara itu, keluarga tersebut terpaksa meneruskan perjalanan ke Berlin dan akhirnya tiba di petempatan pelarian Norway tanpa kehadiran Kunkush.
Tanpa diketahui keluarga berkenaan, Kunkush sebenarnya ditemui oleh seorang nelayan Greece dalam keadaan bulunya kusut masai dengan kesan diserang kucing lain.
Kunkush diselamatkan, diberi makan, dan dinamakan sebagai Dias iaitu nama dewa Zeus dalam bahasa Yunani.
Tiga orang sukarelawan Amerika Syarikat yang mendapat tahu kisah ini mula berkempen untuk mencari empunya kucing yang sebenarnya melalui laman Facebook Reunite Dias.
Hasil kempen dan siasatan meluas akhirnya membuahkan hasil apabila pemilik asal kucing itu dikesan berada di Norway, minggu lalu.
Tiket perjalanan dan kos gerakan mempertemukan semula Kunkush dengan keluarga asalnya dibiayai sepenuhnya oleh orang awam melalui laman peraih dana Go Fund Me.
Video pertemuan semula yang mengharukan itu mendapat respon meluas dari netizen.
Mereka menyifatkan peristiwa itu membuktikan sifat kemanusiaan dan belas ihsan masih lagi menebal dalam kalangan masyarakat antarabangsa.